EKONOMI

Dasar Padu Kerajaan Tingkat Keyakinan Pelabur - Tengku Zafrul

06/08/2024 04:26 PM

CYBERJAYA, 6 Ogos (Bernama) -- Pengukuhan ringgit mencerminkan asas ekonomi dan dasar negara yang padu, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata walaupun terdapat keputusan yang sukar dalam pelaksanaan dasar tetapi ia telah menghasilkan keyakinan dalam kalangan pelabur asing dan juga tempatan.

“Melihat kepada pasaran modal dan pasaran saham, ia menunjukkan pelabur yakin dengan prospek Malaysia, di samping pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada suku pertama dan anggaran suku kedua lebih tinggi pada kira-kira 5.8 peratus. Semua ini adalah asas kepada pengukuhan ringgit,” katanya semasa ditanya mengenai prestasi ringgit.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pecah tanah kampus kedua Vantage Data Centers, di sini, hari ini. 

Pada 8 pagi hari ini, ringgit diniagakan tinggi sedikit kepada 4.4200/4300 berbanding dolar AS, daripada paras penutup 4.4240/4305 pada Isnin.

Menurut pakar ekonomi, ringgit mencatatkan kenaikan amat memberangsangkan tahun ini, meningkat 4.1 peratus berbanding dolar AS.

Tengku Zafrul berkata dengan usaha gigih kerajaan beliau optimis negara dapat mencapai sasaran pertumbuhan KDNK empat hingga lima peratus pada tahun ini.

“Kita menyaksikan peningkatan perdagangan sebanyak 8.4 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, dengan pelaburan meningkat sebanyak 13 peratus.

“Jika kita dapat mengekalkan (trend ini), kita sepatutnya dapat memenuhi sasaran pertumbuhan KDNK sebanyak empat hingga lima peratus tahun ini," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui kenaikan ringgit ketika ini sebahagiannya disebabkan oleh kelemahan dolar AS ekoran laporan pekerjaan yang kurang memberangsangkan dan prospek kemungkinan penurunan kadar faedah di ekonomi terbesar dunia itu.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan