ISTANBUL, 28 Jun (Bernama-Anadolu) -- Portugal dan Colombia mengesahkan kemaraan ke pusingan 32 Piala Dunia FIFA 2026 selepas terikat tanpa jaringan dalam perlawanan terakhir Kumpulan K di Stadium Miami, Amerika Syarikat (AS), lapor Anadolu Ajansi (AA).
Portugal lebih banyak menguasai permainan pada awal perlawanan, namun Colombia memilih untuk bertahan dan mengatur serangan balas.
Taktik oleh pengendalinya, Nestor Lorenzo, membuahkan hasil apabila Colombia mencipta lebih banyak peluang berbahaya dengan Jhon Cordoba dua kali hampir memecah kebuntuan.
Sepuluh minit terakhir babak pertama menyaksikan aksi yang lebih terbuka apabila kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan.
Namun, kehebatan kedua-dua penjaga gol menggagalkan segala percubaan untuk menghasilkan jaringan.
Penjaga gol Portugal, Diogo Costa, melakukan beberapa aksi cemerlang bagi menafikan percubaan Jhon Cordoba, Jhon Arias dan James Rodriguez, manakala penjaga gol Colombia, Camilo Vargas, mempamerkan aksi terbaik perlawanan apabila menyelamatkan percubaan Bruno Fernandes dari jarak dekat.
Colombia terus tampil lebih berbahaya selepas rehat walaupun hanya memerlukan keputusan seri untuk muncul juara kumpulan.
Luis Suarez terlebih dahulu melepaskan peluang keemasan apabila rembatannya tersasar, sebelum Ruben Dias melakukan aksi menyelamat di garisan gol beberapa ketika kemudian bagi menggagalkan percubaan pemain itu.
Colombia hampir memperoleh gol kemenangan menerusi tandukan Davinson Sanchez di tiang jauh, namun jaringan itu dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan dia berada dalam kedudukan ofsaid.
Keputusan itu turut menyaksikan Colombia mencatat keputusan seri tanpa jaringan buat kali pertama dalam sejarah penyertaan mereka di Piala Dunia, selepas kesemua 24 perlawanan terdahulu sentiasa menghasilkan sekurang-kurangnya satu gol.
Colombia menamatkan saingan Kumpulan K di tangga teratas, manakala Portugal di tempat kedua, sekali gus layak ke pusingan 32 terakhir.
Colombia akan menentang Ghana, manakala Portugal dijadual berdepan Croatia pada pusingan 32.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial