JENAYAH & MAHKAMAH

JKDM Pahang rampas 1.2 juta batang rokok bernilai lebih RM900,000

06/08/2024 07:15 PM

KUANTAN, 6 Ogos (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang berjaya mematahkan cubaan pengedaran rokok seludup apabila merampas 1.2 juta batang rokok pelbagai jenis dan jenama bernilai RM942,480 termasuk duti serta cukai, bulan lepas.

Pengarah berkenaan Mohd Asri Seman berkata rampasan dilakukan selepas Bahagian Penguatkuasaan JKDM Pahang memeriksa sebuah lori yang ditinggalkan di tepi jalan di Taman Sri Mahkota di sini, kira-kira 2 petang pada 6 Julai lepas.

Beliau berkata pihaknya kini giat mengesan pemilik lori itu serta rangkaian sindiket pengedaran rokok berkenaan.

“Modus operandi yang dilakukan sindiket ini ialah menggunakan lori berkanvas dan aktif pada waktu puncak bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Selain itu, Mohd Asri berkata pihaknya menahan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an bersama 53,100 batang rokok bernilai RM45,607.72 termasuk duti dan cukai dalam pemeriksaan ke atas sebuah kereta di Kilometer (KM) 129 Lebuhraya Segamat-Kuantan dekat Muadzam Shah, kira-kira 2.30 petang pada 22 Julai lepas.

Sementara itu, Mohd Asri berkata JKDM turut berjaya mematahkan cubaan pengedaran daging babi sejuk beku dari Thailand bernilai RM135,000 apabila menahan sebuah lori di KM 131, Laluan Jeli-Gerik, Perak, kira-kira 5.30 pagi pada 17 lepas.

Beliau berkata hasil pemeriksaan, JKDM menemukan 150 keping daging babi seberat 6,750 kilogram sementara pemandu serta kelindan lori berusia lingkungan 30-an itu gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan pengimportan dan permit mengangkut daging sejuk beku. 

Kesemua kes itu katanya disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan