AM

Kerajaan Peruntuk RM1 Juta Bantu 200 Usahawan Veteran ATM

08/08/2024 04:28 PM

ALOR GAJAH, 8 Ogos (Bernama) -- Kerajaan memperuntukkan RM1 juta bagi membantu 200 usahawan veteran tentera di bawah Program Pemerkasaan Usahawan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PUVET ATM) tahun ini.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata setakat ini 96 usahawan veteran ATM telah dibantu dengan setiap penerima menerima bantuan wang tunai RM5,000 bagi mengembangkan perniagaan mereka.

"Setakat ini kebanyakan penerima tinggal di selatan tanah air dan bagi mencapai sasaran 200 usahawan veteran, selepas ini kita akan menjelajah ke negeri-negeri di Pantai Timur.

"Lebih 50 peratus usahawan veteran ini menceburi bidang pembuatan makanan terutamanya sejuk beku yang berpotensi tinggi untuk dipasarkan selepas mereka tamat perkhidmatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program PUVET ATM peringkat Melaka di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, sebanyak 44 usahawan veteran menerima bantuan itu membabitkan peruntukan RM220,000.

Adly berkata Kementerian Pertahanan bersama Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) turut bekerjasama dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makana serta Kementerian Ekonomi bagi membantu golongan berkenaan mengembangkan perniagaan mereka.

Beliau berkata perkara paling penting adalah mendedahkan usahawan veteran itu dengan teknologi digital bagi membantu mereka memasarkan perkhidmatan dan barangan secara dalam talian.

“Hal ini sekali gus akan memberi nilai tambah kepada perniagaan mereka selain bantuan modal bagi meningkatkan keupayaan usahawan veteran ini," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan