KOTA KINABALU, 22 Jan (Bernama) -- Projek Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Lok Kawi yang menyediakan 513 unit rumah pelbagai kelas dijangka siap sepenuhnya Ogos ini, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata proses pembinaan projek bernilai RM188 juta yang mula dilaksanakan pada 22 Feb 2022 itu berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.
“Saya telah mendengar taklimat dan saya cukup berpuas hati dengan perjalanan projek ini. Saya berharap projek ini akan memberi manfaat kepada 513 keluarga warga pertahanan yang bertugas di sekitar kawasan Kem Lok Kawi setelah ia siap sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau perjalanan projek berkenaan di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata selaras dengan Fokus Keempat Kementerian Pertahanan Tahun 2025, kementerian itu turut memperuntukkan RM2.9 juta bagi tujuan penyelenggaraan RKAT dan Blok Penginapan Kem Lok Kawi untuk tahun ini.
“Selain itu kementerian juga memperuntukkan RM11.3 juta bagi RKAT dan Senggaraan Blok Penginapan 5 Divisyen bagi tahun ini.
“Secara keseluruhan, terdapat empat blok penginapan di Kem Lok Kawi dan 161 pintu RKAT melibatkan Kem Lok Kawi, Kem Brooke, Kem Paradise, Kem Penampang dan Kem Sri Kinabatangan akan terlibat dalam penyelenggaraan bagi tahun ini,” tambahnya.
Mohamed Khaled berkata kementerian itu sentiasa menumpukan tekad merangkumi aspek kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia kerana ia adalah nadi utama yang dititikberatkan dalam menjamin tahap kesejahteraan, agar sentiasa terpelihara dan memiliki moral tinggi dengan kualiti hidup sejahtera.
Sementara itu, dalam lawatan berkenaan beliau turut menyampaikan sumbangan kebajikan RM500 secara sekali bayar kepada 20 pesakit kronik yang bertugas di 5 Divisyen.
Beliau berkata sumbangan itu adalah antara usaha kementerian untuk meringankan beban warga tentera yang memerlukan, khususnya dalam pengurusan kehidupan seharian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial