EKONOMI

Maybank sasar peningkatan 20 peratus jualan dan penebusan mata di Treats Fair 2024

08/08/2024 06:25 PM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Malayan Banking Bhd (Maybank) mengunjurkan peningkatan 20 peratus dalam jualan dan penebusan mata dengan manfaat penebusan yang dipertingkatkan semasa program Maybank Treats Fair 2024 yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan bagi perkhidmatan kewangan komunitinya Syed Ahmad Taufik Albar berkata program yang sama sebelum ini menjana jualan melebihi RM10 juta dengan penebusan mata Maybank sebanyak dua bilion.

 ”Tahun ini, menandakan dua dekad Maybank Treats Fair 2024 memberi ganjaran kesetiaan kepada pelanggan kami, dan sebagai acara penebusan kesetiaan bank yang paling lama berlangsung, ia diiktiraf oleh Malaysia Book of Records," katanya pada majlis pelancaran program tersebut, di sini hari ini.

Maybank Treats Fair 2024 yang diadakan di Pusat Pameran Mid Valley, menampilkan hampir 300 reruai yang menawarkan tawaran eksklusif, diskaun dan aktiviti.

Syed Ahmad Taufik berkata Maybank memiliki 13 juta pemegang kad dengan pertumbuhan transaksi meningkat sebanyak 30 peratus sepanjang tahun ini, menunjukkan komitmen bank tinggi bank itu dalam usahanya memperkukuh tumpuan terhadap pelanggan.

Sementara itu, Ketua bahagian kad Maybank B. Ravintharan berkata bank tersebut menyasarkan kadar pertumbuhan perbelanjaan kad sebanyak 15 peratus tahun ini.

”Pertumbuhan tahun lepas juga hampir mencapai 15 peratus. Jadi, kami menjangkakan tidak kurang daripada itu. Dan tahun ini kami juga menjangkakan pertumbuhan dalam perniagaan e-dagang, oleh itu, ia adalah gabungan antara transaksi e-dagang dan bukan e-dagang,” katanya.

Syed Ahmad Taufik berkata jumlah pelanggan Maybank melebihi 2.2 juta pemegang kad kredit dan program Treats Fair disasar menarik kira-kira 125,000 pengunjung.

 ”Sepanjang acara selama empat hari tersebut, kami berharap mendapatkan 1,500 pendaftaran kad kredit baharu yang disokong oleh promosi serta tarikan untuk memenangi sebuah kereta bernilai RM145,000,” katanya.

Di Maybank Treats Fair 2024, pelanggan boleh menebus baucar Agoda bernilai RM100 dan RM200  daripada masing-masing serendah 40,000 dan 80,000 mata, atau boleh ditebus dengan 42,500 dan 85,000 mata selepas itu.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan