AM

JKR Sarawak Ambil 414 Kakitangan Teknikal Baharu Untuk Atasi Masalah Kekurangan

08/08/2024 07:01 PM

KAPIT, 8 Ogos (Bernama) -- Jabatan Kerja Raya Sarawak (JKR Sarawak) sedang merekrut 414 kakitangan teknikal bagi mengisi kekurangan yang dihadapi di seluruh negeri khususnya di kawasan luar bandar.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata pengambilan pekerja itu penting bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek pembangunan di negeri ini dengan Kapit dikenal pasti antara kawasan yang menghadapi masalah kekurangan kakitangan.

"Kami berharap dapat menghantar kakitangan tambahan pada akhir tahun ini supaya mereka boleh mula bekerja, melaksanakan projek. Saya akan sampaikan masalah sama yang dihadapi agensi lain kepada Setiausaha Kerajaan Negeri kerana saya rasa sudah tiba masanya untuk kita benar-benar melihat isu itu dengan teliti," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Pemantauan Projek Bahagian Kapit (Kesalinghubungan Luar Bandar) JKR Sarawak dan wakil rakyat tempatan di sini hari ini, beliau berkata pihaknya juga akan bertemu Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohamad Abu Bakar Marzuki bagi memohon pengembalian semula bayaran elaun bertugas bagi penjawat awam negeri yang bekerja di kawasan luar bandar.

Beliau berkata elaun itu telah ditarik balik oleh kerajaan Negeri dan beliau akan meminta pertimbangan semula keputusan itu.

Uggah yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Negeri berkata kerajaan sedang melihat pelaksanaan projek STOLport Bukit Mabong bernilai RM193 juta di sini yang ditangguhkan tahun lepas setelah Kabinet negeri memutuskan kemudahan seperti akses jalan raya, bekalan elektrik dan air perlu dibawa masuk ke kawasan itu terlebih dahulu sebelum projek itu dapat diteruskan.

Mengenai pertemuan itu, beliau berkata ia bertujuan untuk mengumpulkan maklum balas mengenai status projek yang dilaksanakan oleh JKR Sarawak, isu yang dihadapi dalam pelaksanaan projek dan liputan jalan di bahagian Kapit.

 “Kami berharap dapat merancang program bagi memastikan terdapat strategi untuk menghubungkan semua jalan, rumah dan rumah panjang di bahagian ini,” katanya sambil menambah perancangan projek akan dirangka dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) serta Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

Turut hadir Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kapit Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan