JENAYAH & MAHKAMAH

Balu pelancong China yang dibunuh dalam bilik hotel dapat pampasan lebih RM700,000

08/08/2024 09:23 PM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini baru-baru ini memberikan pampasan lebih RM700,000 kepada balu seorang pelancong warga China yang telah dibunuh di sebuah hotel terkemuka di Pahang di mana mangsa menginap, lima tahun lepas. 

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan membuat keputusan itu selepas membenarkan saman kecuaian yang difailkan oleh Wang Cuilin terhadap seorang petugas bahagian pengemasan, hotel berkenaan dan pemiliknya. 

Dalam penghakiman bertulis bertarikh 14 Mei lepas, Raja Ahmad Mohzanuddin Shah berkata Wang berjaya membuktikan bahawa petugas hotel terbabit cuai apabila membenarkan individu yang tidak mempunyai kebenaran memasuki bilik mangsa.

“Hotel itu dan pemiliknya secara tidak langsung adalah bertanggungjawab bagi kecuaian petugas terbabit. Justeru itu, mahkamah mengarahkan ketiga-tiga defendan membayar RM200,000 sebagai ganti rugi am dan RM500,000 lagi atas penderitaan yang tanggung oleh balu mangsa,” katanya yang turut mengarahkan kesemua defendan membayar kos sebanyak RM75,000 kepada plaintif.

Bagaimanapun, ketiga-tiga defendan yang telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu, turut memohon agar pelaksanaan perintah itu ditangguh sementara menunggu rayuan dalam kes berkenaan.

Raja Ahmad Mohzanuddin Shah berkata berdasarkan keterangan kepada polis, petugas terbabit telah menggunakan kad aksesnya untuk membuka bilik mangsa kepada seorang daripada dua suspek pada 10 Jun 2019.

“Petugas itu telah melakukan perkara serupa dua hari kemudian dan tidak memeriksa sama ada individu sama telah keluar dari bilik tersebut,” katanya sambil menambah tidak lama kemudian mangsa telah memasuki bilik itu dan keluar semula untuk bercakap dengan petugas terbabit namun tidak difahami oleh defendan menyebabkan mangsa kembali ke biliknya.

Justeru itu, beliau berkata adalah jelas petugas terbabit telah membenarkan individu yang tidak mempunyai kebenaran memasuki bilik mangsa sebanyak dua kali menggunakan kad aksesnya.

Mangsa, yang tiba di Malaysia pada 16 Mei 2019 dan mendaftar masuk di hotel itu, telah memaklumkan isterinya bahawa beliau telah memenangi sejumlah wang di kasino namun tidak lagi membalas mesej sejak 11 Jun menyebabkan Wang bimbang dan meminta bantuan rakannya yang kebetulan ada bertemu warga China tersebut di kasino.

Selepas digesa oleh rakan Wang, pihak keselamatan hotel telah memeriksa bilik berkenaan dan menemukan mayat mangsa dalam keadaan terikat dengan mulutnya disumbat pada 7.55 pagi tiga hari selepas itu.

Menurut laporan bedah siasat, mangsa meninggal dunia akibat kesukaran bernafas dan mempunyai kesan lebam serta melecet yang konsisten dengan trauma akibat objek tumpul.

Kedua-dua suspek kemudian ditahan dalam siasatan kes bunuh dan rompakan membabitkan pelancong warga China itu namun tiada yang dihadapkan ke mahkamah.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan