AM

KPKM sokong projek pengeluaran kerbau di Sarawak

09/08/2024 12:18 AM

LAWAS (Sarawak), 8 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyokong usaha kerajaan Sarawak dalam memajukan projek pengeluaran tenusu dan pedaging kerbau di kawasan Meragang, bahagian utara negeri itu.

Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata usaha itu dilihat mampu meningkatkan bekalan pedaging tempatan sekali gus memastikan negara mampu mengurangkan kebergantungan terhadap import daging.

“Malaysia masih jauh ketinggalan dalam pengeluaran daging tempatan dengan negara kini hanya mampu memenuhi 15 peratus daripada keperluan.

“Sebanyak 85 peratus daripada bekalan daging perlu diimport, ini menunjukkan keperluan mendesak untuk meningkatkan pengeluaran daging tempatan khususnya kerbau dan lembu pedaging,” katanya ketika berucap pada majlis Santai KPKM bersama Penternak, Petani dan Nelayan di sini malam ini.

Mohamad berkata Lawas kini dilihat sebagai kawasan yang berpotensi tinggi untuk pelaburan dalam sektor pertanian dan penternakan.

Justeru, beliau menyeru masyarakat tempatan mengambil peluang dalam program Komuniti MADANI bagi merancakkan aktiviti ekonomi yang membabitkan lima sektor tumpuan iaitu pertanian dan makanan, jahitan dan kraf tangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti serta aktiviti hijau dan kitar semula.

“Setakat ini, hanya kurang 10 peratus daripada peruntukan RM1 bilion yang disediakan telah dibelanjakan. Oleh itu, diharapkan semua pihak dapat memainkan peranan dalam memastikan peruntukan ini digunakan sebaik mungkin bagi meningkatkan pendapatan dan keselamatan makanan negara,” katanya.

Pada majlis itu, Mohamad turut menyampaikan geran Program Usahawan Kerbau yang bernilai RM1.7 juta kepada 10 penerim, Lesen Sampan Khas Daerah Lawas kepada 38 penerima dan Bantuan Kluster Ternakan Ikan Dalam Sangkar Air Payau serta Bantuan Input Ternakan dan Peralatan kepada enam penerima bernilai lebih RM370,000.

Pagi tadi, Mohamad mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan Brunei Datuk Seri Setia Abdul Manaf  Metussin di Bandar Seri Begawan dan menjemput beliau secara peribadi untuk menghadiri Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) bermula 11 hingga 22 Sept ini.

Pada sebelah petang pula, Mohamad mengadakan lawatan kerja ke Stesen Ternakan Kerbau di kawasan Maragang yang terletak 28 kilometer dari pekan Lawas sempena konvoi Jelajah Road To MAHA 2024 @Sarawak bermula hari ini hingga Ahad melibatkan Brunei, Lawas dan berakhir di Miri.

Sementara itu, KPKM dalam kenyataan memaklumkan Jelajah Road To MAHA 2024 @Sarawak menampilkan pelbagai aktiviti termasuk menerokai kawasan menarik dan berpotensi dalam menghasilkan teknologi moden pertanian, agropelancongan dan mengadakan sesi dialog serta libat urus bersama petani, penternak dan nelayan tempatan.

Menurut kenyataan itu, program tersebut juga menjadi platform untuk membina jaringan antara pelbagai pihak berkepentingan yang terlibat dalam rantaian nilai pertanian dan ia merupakan kesinambungan daripada Road To MAHA 2024 @Sabah pada Julai lepas.

“Program jelajah ini bertujuan mempromosikan MAHA 2024 sebagai satu ekspo pertanian terbesar merangkumi pameran teknologi terbaharu, pemodenan dan pertanian pintar serta solusi hijau yang akan menentukan arah baru sektor agrikultur Malaysia,” menurut kenyataan itu.

--BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan