SUKAN

SUKMA: 'Ubi Muda' Skuad Sepak Takraw Pulau Pinang Dilengkapi Taktikal Tersendiri

09/08/2024 10:49 AM

Oleh Erma Idayu Mohd Yusop

NIBONG TEBAL, 9 Ogos (Bernama) -- Pasukan Sepak Takraw Pulau Pinang akan mempertaruhkan bakat muda dan muka baharu pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak, namun dilengkapi dengan pelan strategik serta taktikal.

Daripada 14 pemain berusia 16 hingga 21 tahun pasukan itu, hanya seorang sahaja pemain sepak takraw yang bermain pada SUKMA edisi lepas, manakala selebihnya muka baharu yang digilap jurulatih berpengalaman dan bekas pemain kebangsaan.

Mengilap bakat kontinjen muda yang bakal menggalas cabaran Pulau Mutiara itu dari 17 hingga 24 Ogos ini ialah Ketua Jurulatih Ahmad Supian Napiah dan dibantu Ahmad Rahimi Azizan serta Mohamad Fazil Mohd Asri.

Mohamad Fazil, 35, berkata walaupun mempertaruhkan bakat ‘ubi muda’ yang kebanyakan pelajar dan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara Impian, namun pihaknya yakin pasukan itu akan ‘menuai’ sekurang-kurangnya dua pingat emas pada edisi kali ini.

"Mereka terdiri pemain muda, jadi saya maklumkan kepada mereka jangan tertekan apabila masuk gelanggang apa yang penting saya mahu mereka ubah ‘mind set’ dengan memberi fokus kepada permainan yang cantik, sebab saya mahu mereka beraksi tanpa tekanan.

"Saya juga tekankan kepada kekuatan dan ‘senjata’ tekong melakukan servis kerana sekarang ini banyak negeri yang mempunyai kekuatan servis oleh tekong mereka bukan hanya kita di Pulau Pinang sahaja, kita ada taktikal dalam servis tekong dan saya harap pemain dapat melaksanakannya," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada sesi latihan di SMK Mutiara Impian di sini.

Bekas pemain kebangsaan sepak takraw itu berkata SMK Mutiara Impian ialah sekolah sukan di negeri itu dan kebanyakan pemain terpilih mempunyai kemahiran dalam sepak takraw yang seterusnya digilap oleh Majlis Sukan Negeri (MSN) Pulau Pinang dan Persatuan Sepak Takraw Pulau Pinang.

Beliau yang juga bekas pelajar SMK Mutiara Impian membawa Pasukan Sepak Takraw Pulau Pinang ke kejohanan SUKMA sejak 2016 dan mengakui edisi tahun ini cabaran paling besar kerana melibatkan pemain baharu.

Selain latihan dan kemahiran yang diperturunkan kepada pemain, beliau berkata mereka juga diberikan pendedahan bermain dalam beberapa kejohanan dalam dan luar negara bagi terus memperkuat barisan atlet itu.

"Pemilihan pasukan sepak takraw ini dilakukan sejak setahun lepas dan terdapat tiga peringkat sebelum yang betul-betul berbakat dipilih untuk dibawa ke Sarawak dan sejak bulan lepas kami menjalani latihan penuh melibatkan semua pemain.

"Dari segi prestasi semasa pemain kita dalam keadaan baik cuma kami kena kerja kuat kerana berdasarkan pemerhatian mendapati beberapa negeri mula menunjukkan pencapaian baik dalam sepak takraw, namun dari segi ramuan, strategi dan taktikal kita tidak sama, itu kekuatan Pulau Pinang," katanya.

Sementara itu, Pengurus Pasukan Sepak Takraw Pulau Pinang Mohd Shaherman Shafie berkata seramai 28 atlet terdiri 14 lelaki dan 14 wanita akan menyertai keempat-empat acara dipertandingkan iaitu Regu 3 Pemain (Trio), Regu 2 Pemain (Double), Berpasukan Regu 3 Pemain (Trio) dan Quadrant 4 Pemain.

"Sasaran MSN ialah dua emas dan berdasarkan perkembangan semasa pasukan sepak takraw di Malaysia, saya rasa kita boleh capai dua emas berkenaan. 

“Dari segi reputasi semasa pasukan wanita pula, kami sasarkan sekurang-kurangnya satu pingat kerana berdasarkan 'penyelidikan' yang dijalankan saingan dalam kategori wanita lebih hebat terutama melibatkan pasukan Sabah dan Sarawak," katanya.

Pada SUKMA edisi lepas, pasukan sepak takraw Pulau Pinang meraih satu pingat emas bagi acara regu dan satu gangsa untuk acara berpasukan bagi kategori lelaki, manakala skuad wanita pulang tangan kosong.

Saingan sepak takraw yang menawarkan lapan pingat emas melibatkan wanita dan lelaki akan berlangsung di Stadium Muhibbah Bintulu, Bintulu dari 14 hingga 23 Ogos.

Secara keseluruhan, Pulau Pinang bakal mempertaruhkan 606 atlet menerusi 35 jenis sukan dalam misi mencapai sasaran 40 pingat emas pada SUKMA XXI Sarawak 2024.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan