JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Bongkar Taktik Guna Dron Seludup Dadah Ke Dalam Penjara

10/08/2024 12:39 PM

IPOH, 10 Ogos (Bernama) -- Polis merampas sebuah dron dipercayai digunakan untuk menyeludup dadah ke dalam Penjara Tapah dekat sini semalam. 

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan satu unit dron di bumbung sebuah blok penjara ketika seorang sarjan penjara berkenaan membuat rondaan pada 11.30 pagi hari yang sama. 

Beliau berkata hasil siasatan mendapati terdapat beg dobi digantung pada dron itu yang didalamnya terdapat barang disyaki dadah. 

"Siasatan awal mendapati terdapat satu peket plastik lutsinar mengandungi tiga peket plastik berisi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin anggaran berat 122 gram.

"Kita turut temukan dua peket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine anggaran berat 12.9 gram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Azizi berkata modus operandi membawa masuk dadah ke penjara menggunakan dron kali pertama dilaporkan setakat ini. 

"Polis telah membuka kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A(1) akta sama.

"Kita memandang serius sebarang aktiviti penyeludupan dadah apatah lagi ia melibatkan membawa masuk dadah ke dalam penjara dan satu siasatan menyeluruh akan dijalankan," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan