AM

Busana Tradisional Warnai Karnival Kita MADANI Di Perak

10/08/2024 03:56 PM

TANJUNG MALIM, 10 Ogos (Bernama) -- Unik dan meriah! itu yang boleh digambarkan pada sambutan Karnival Kita MADANI Peringkat Negeri Perak di sini hari ini apabila rata-rata pengunjung memakai busana tradisional kaum atau etnik masing-masing bersempena Hari Kebangsaan. 

Seorang pengunjung Lydia Patrick, 42, berkata dia dan anak perempuannya memakai baju tradisional Ulu Sarawak kerana bersesuaian dengan tema karnival itu dan busana berkenaan agak janggal jika dipakai pada hari biasa.

“Busana ini saya selalu pakai kalau ada majlis perayaan sahaja, namun hari ini saya lihat satu peluang untuk menonjolkannya kepada penduduk di Semenanjung dan tambahan lagi bulan ini ialah Bulan Kebangsaan menambahkan lagi semangat untuk memakainya,” katanya yang bertugas sebagai penjawat awam. 

Pembantu tadbir di Politeknik Sultan Azlan Shah Bethney Mudin, 47, berkata karnival kali ini agak unik apabila menjadikan pakaian tradisional sebagai tema.

"Saya lihat semua yang memakai pakaian tradisional kaum dan etnik masing-masing bangga dengan kepelbagaian serta keunikan pakaian mereka dan sudah pasti tema seperti ini akan menarik lebih ramai rakyat Malaysia untuk mengunjungi program MADANI ini,” katanya yang memakai busana Kadazan Dusun.

Sementara itu, Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak Mohd Azlan Helmi berkata Karnival Kita MADANI Peringkat Negeri Perak pada tahun ini mempunyai kelainan dengan pembabitan beberapa agensi kerajaan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

”Antara agensi yang terlibat ialah Planetarium Negara, Jabatan Kimia dan Pusat Sains Negara yang melaksanakan beberapa program dan aktiviti sepanjang dua hari ini melibatkan pelbagai peringkat umur dari prasekolah, remaja, veteran dan warga emas.

“Program ini dapat memberi banyak manfaat kepada masyarakat keseluruhannya dalam memahami inisiatif kerajaan dan kita boleh lihat pelbagai agensi berkumpul dan ini memudahkan rakyat menyelesaikan urusan mereka yang berkaitan dengan agensi yang ada,” katanya selepas merasmikan karnival itu di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang Ahli Parlimen Tanjung Malim Chang Lih Kang serta Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Perak Yosri Abu Mahsin.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan