AM

Komen Warganet Beri Kesan Mental Terhadap Atlet Dianggap Buli Siber - Fahmi

10/08/2024 07:19 PM

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Komen yang dikeluarkan oleh warganet terhadap para atlet Sukan Olimpik Paris 2024 di media sosial boleh dianggap buli siber sekiranya memberi kesan ke atas mental mereka, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata semakan akan dilakukan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sekiranya ada laporan dari semasa ke semasa berhubung perkara itu.

"Kita lihat kadangkala ada yang beranggapan komen yang dibuat warganet ini boleh dianggap buli siber sekiranya atlet merasakan kesihatan mental mereka terkesan.

"Saya akan semak dahulu dan minta MCMC membuat kenyataan susulan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen Perpaduan Lembah Pantai 2024 di sini hari ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata pelaku dikesan mengeluarkan komen agak kasar terhadap para atlet dan ada yang menggunakan akaun palsu.

"Ada sejumlah tindakan buli siber ini pelakunya berselindung di sebalik akaun palsu dan tindakan oleh platform media sosial tidak berkesan untuk mengekang kegiatan akaun palsu bukan hanya untuk isu buli siber tetapi penipuan dan paling merisaukan jenayah seksual terhadap kanak-kanak," katanya.

Ditanya mengenai bantahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terhadap cadangan supaya kerajaan membina platform media sosial khusus, Fahmi meminta Ahli Parlimen Muar itu membuat semakan fakta terlebih dahulu.

"Saya tidak tahu apa dia cakap. Mungkin dia tidak semak fakta dulu. Kepada Syed Saddiq, tidak pasti jangan kongsi," katanya.

Isnin lepas, Syed Saddiq berkata bantahan itu dibuat kerana Malaysia mempunyai ratusan aplikasi kementerian atau agensi yang bertindih dan pada akhirnya tidak berfungsi.

  -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan