SUKAN

Faisal Halim Suntik Semangat Selangor Tundukkan Kelantan Darul Naim

10/08/2024 09:05 PM

PETALING JAYA, 10 Ogos (Bernama) -- Selangor FC (SFC) menggunakan kelebihan beraksi di halaman sendiri untuk menewaskan Kelantan Darul Naim (KDN) FC 2-0 pada saingan Liga Super 2024-2025 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya di sini hari ini.

Babak pertama perlawanan berlangsung seimbang buat kedua-dua pasukan apabila dilihat saling berbalas serangan namun gagal diterjemahkan kepada sebarang bentuk gol.

Pada minit ke-44, skuad Red Giants hampir mendahului perlawanan apabila satu hantaran lintang Reziq Mohammed Saleh Banihani kepada Ronnie Allan Fernandez Saez dalam kotak penalti gagal dimanfaatkan, biarpun peluang terbuka luas untuk menewaskan penjaga gol Kelantan Khatrul Anuar Md Jalil.

 SFC akhirnya memecah kebuntuan gol selepas kekalutan di dalam kawasan penalti KDN berjaya ditembusi Ronnie untuk melakukan jaringan pada minit ke-65.

Tidak lama kemudian, SFC terus menambah derita pasukan pelawat apabila Ronnie menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-85.

Kemasukan pemain sayap Mohamad Faisal Halim atau lebih dikenali sebagai Faisal Halim pada minit-minit terakhir, diiringi sorakan lebih 7,400 penonton, menyemarakkan lagi semangat pemain Selangor yang terus mendominasi perlawanan sehingga wisel penamat ditiup.

Faisal Halim kali pertama membuat kemunculan di khalayak ramai pada 16 Jun lepas pada perlawanan Piala FA di antara Selangor FC menentang Negeri Sembilan FC.

Pada 5 Mei lepas, Faisal Halim mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya dan terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira 10 hari.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan