DUNIA

Industri Sewa Perumahan China Penting Untuk Pasaran Hartanah Masa Depan: PBOC

10/08/2024 11:13 PM

BEIJING, 10 Ogos (Bernama-Xinhua) -- Industri sewa perumahan di China, yang dijangka mengalami permintaan kukuh dan bekalan yang stabil, dikenal pasti sebagai "hala tuju penting" untuk model pembangunan masa depan pasaran hartanah negara, menurut kenyataan Bank Rakyat China (PBOC) pada Sabtu, lapor Xinhua.

Memandangkan perubahan mendalam dalam penawaran dan dinamik permintaan pasaran hartanah, skala perumahan sedia ada di China sudah sangat besar, kata bank pusat itu dalam laporan pelaksanaan dasar monetari.

Dari segi permintaan, institusi pasaran mengunjurkan bahawa penduduk di China dengan keperluan sewa akan melebihi 200 juta dan potensi pasaran agak besar, kata PBOC, sambil menambah bahawa permintaan semakin meningkat dalam kalangan kumpulan utama, termasuk graduan baharu yang memasuki tenaga kerja dan individu berpendapatan rendah dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Dari segi bekalan, dengan pemulihan nisbah sewa kepada jualan dan pengurangan kos pembiayaan dan operasi, kemampanan komersial industri sewa perumahan telah dipertingkatkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Akibatnya, semakin banyak perusahaan sewa perumahan telah memasuki pasaran dan operasi berskala besar dan intensif mereka dijangka memberikan perkhidmatan perumahan sewa berkualiti tinggi dan lebih stabil, kata PBOC.

Bank pusat telah meningkatkan sokongan kewangan untuk perumahan bersubsidi kerajaan dengan mewujudkan kemudahan pinjaman semula untuk projek itu, menurut PBOC.

Menjelang akhir Jun, institusi kewangan China mengeluarkan pinjaman perumahan sewa sebanyak 24.7 bilion yuan (kira-kira US$3.46 bilion) dengan baki kemudahan pinjaman semula perumahan subsidi kerajaan berjumlah 12.1 bilion yuan.

Langkah seterusnya, China akan menambah baik sistem sokongan kewangan untuk penyewaan perumahan dan mengarahkan lebih banyak pelaburan modal sosial ke dalam sektor itu, kata bank pusat.

Ia menambah bahawa model perniagaan yang mampan akan diwujudkan untuk menyokong pennyahstokan perumahan komersial sedia ada dan membantu menggalakkan transformasi dan pembangunan industri hartanah negara.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan