AM

Melaka Bekerjasama Dengan LPNM Untuk Jadi Hab Promosi Nanas Kepada Pelancong Luar Negara

11/08/2024 10:40 AM

MELAKA, 11 Ogos (Bernama) -- Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) akan bekerjasama dengan kerajaan Melaka untuk menjadikan negeri itu sebagai hab mempromosi nanas di peringkat antarabangsa memandangkan ia sering menjadi tumpuan pelancong khususnya dari luar negara.

Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Sheikh Umar Bagharib Ali berkata pelancong yang berkunjung ke Melaka dan berkesempatan merasa nanas keluaran negara pula akan menjadi ‘duta tidak rasmi’, dalam mempromosi buah berkenaan yang akan diangkat sebagai buah kebangsaan menjelang tahun hadapan.

"Walaupun Melaka kecil dan tidak dapat menanam nanas dalam keluasan yang besar, namun negeri ini mampu memainkan peranan penting dalam mempromosikan nanas kerana ia merupakan destinasi tumpuan pelancong.

"Lebih-lebih lagi jumlah pelancong yang datang ke Melaka sekali ganda daripada jumlah rakyat negeri itu terutama pada hujung minggu dan mereka yang merasa nanas akan membawa cerita tentang rasa dan kualiti buah-buahan itu bukan sahaja ke luar negeri malah ke luar negara," katanya kepada pemberita di hadapan Stadthuys di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas Program Jelajah Hari Nanas Malaysia Peringkat Negeri Melaka 2024 yang dirasmikan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr Muhamad Akmal Saleh.

Sheikh Umar Bagharib berkata antara inisiatif awal yang dilaksanakan bagi menjadikan Melaka sebagai pusat promosi nanas negara ialah pembukaan hab pengumpulan nanas wilayah tengah melibatkan Melaka, Selangor dan Negeri Sembilan di Pusat Koreksional Jasin pada April lepas.

Beliau berkata di pusat koreksional itu juga, kaedah tanaman 'sekali tanam, tiga kali tuai' juga diperkenalkan dan secara tidak langsung membantu meningkatkan pengeluaran hasil tanaman itu yang kini mendapat permintaan tinggi dalam pasaran tempatan.

Sementara itu Dr Muhamad Akmal berkata kerajaan negeri sedang mengenal pasti beberapa bidang tanah di Melaka yang berpotensi dibangunkan sebagai kawasan agro pelancongan tanaman nanas khususnya di luar bandar melibatkan penyertaan rakyat tempatan.

Beliau berkata inisiatif itu bukan sahaja bertujuan membantu meningkatkan ekonomi rakyat tetapi juga memacu sektor agro pelancongan negeri bagi memberi pilihan kepada pelancong menikmati pelbagai pengalaman ketika berada di Melaka.

Terdahulu pada program itu 1,500 nanas percuma varieti MD2 dan Josepine serta 1,000 nanas cawan, nanas potong, diagihkan kepada pelancong di sekitar Stadthuys, Muzium Samudera dan Menara Taming Sari.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan