AM

Nama Bekas PM Pada Chalet, Anak Peneroka Kenang Jasa Pembukaan Felda

11/08/2024 04:00 PM

GUA MUSANG, 11 Ogos (Bernama) -- Memilih untuk menggunakan nama bekas Perdana Menteri pada lapan chalet yang diusahakan di Felda Perasu di sini, Wan Norazilah Wan Dollah menyifatkan langkah itu bertujuan memperingati jasa dan pengorbanan pemimpin berkenaan kepada negara dan tanah rancangan itu.

Lapan chalet berkenaan dinamakan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pemilik Azilah Campsite berusia 38 tahun itu berkata jasa para pemimpin terbabit sangat besar kerana mereka banyak menolong warga Felda keluar daripada kepompong kemiskinan, sekali gus memajukan sektor ekonomi serta pelancongan dan pembangunan kawasan pedalaman khususunya di Kelantan.

“Pembukaan Felda telah diperkenalkan oleh bekas-bekas Perdana Menteri kita yang terdahulu yang banyak membantu orang-orang kampung mendapatkan tanah, ladang dan rumah,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Anak peneroka Felda Perasu itu berkata langkah berkenaan juga dapat mendidik pengunjung termasuk generasi muda yang menginap di chalet berkenaan mengenang perjuangan dan tidak melupakan jasa pemimpin terhadap kemajuan negara.

"Antara tujuan saya ialah mendidik pengunjung mengenai sejarah Felda diwujudkan dan betapa susahnya nenek moyang kita mendirikan pembangunan di dalam kawasan kampung," katanya yang inginkan kelainan bagi memperkenalkan satu-satunya chalet yang terletak di dalam Felda Perasu di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri itu.

Baru sahaja membuka Azilah Campsite tiga bulan lepas dan memperkenalkannya menerusi media sosial, Wan Norazilah berkata tidak ramai yang mengetahuinya kerana laluan untuk ke lokasi chalet itu agak jauh di pedalaman kampung.

Bagaimanapun, kawasan itu menjanjikan pemandangan yang indah khususnya setiap pagi dan petang kerana setiap chalet yang lengkap dengan perabot dan katil dibina di lereng bukit.

“Pengunjung yang menginap di chalet saya yang berhadapan dengan bukit-bukau, mereka akan dapat melihat matahari terbit disertai dengan kabus pagi dan bunyi kicauan burung yang merdu,” katanya dan menambah suasana itu pastinya menjadi lokasi yang tepat untuk bergambar kenangan.

Selain chalet yang disewakan pada kadar RM80 satu malam, lokasi itu turut menyediakan kemudahan lain seperti dewan serbaguna, dewan makan, tapak perkhemahan dan aktiviti menunggang ATV.

Mengulas mengenai inspirasinya untuk membuka Azilah Campsite, beliau ingin membuktikan bahawa anak peneroka mampu membangunkan produk ekopelancongan di tanah Felda, sekali gus menarik kedatangan pelancong dan pengunjung yang inginkan ketenangan dengan suasana alam semula jadi.

"Saya tidak mahu orang luar fikir Felda hanya ada tanah dan ladang milik orang kampung, sebaliknya saya mahu Felda dijadikan sebagai kawasan maju yang terdapat tarikan pelancongan, ia juga hasrat saya sekian lama untuk mewujudkan ekopelancongan di Felda ini," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan