AM

Pesawah Kampung Tok Saboh Desak Pihak Berwajib Selenggara Parit Tersumbat

11/08/2024 06:19 PM

Oleh Mohd Taha Yaacob

KUALA BESUT, 11 Ogos (Bernama) -- Kira-kira 30 pesawah di Kampung Tok Saboh di sini meminta pihak berwajib segera menyelenggara sistem saliran parit di kawasan sawah di kampung itu yang tersumbat sejak bulan lepas, sehingga menjejaskan jadual penanaman padi.

Ketua Tani Kampung Tok Saboh, Jusoh Ismail, 54, berkata pesawah bimbang air yang memenuhi petak sawah tidak dapat dialirkan keluar kerana parit dipenuhi rumput-rampai selain tidak pernah diselenggara sejak dua tahun lepas.

“Air dalam petak sawah sepatutnya kena kering semasa kerja menabur benih padi tetapi masalah ini  menyebabkan kerja menabur benih tertangguh sedangkan jadual menabur benih bermula pada 20 Julai lepas lagi,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sawah padi Kampung Tok Saboh, di sini hari ini.

Beliau berkata bagi yang berkemampuan, mereka menggunakan pam untuk menyedut air keluar namun air masih banyak dan ditambah pula dengan hujan kebelakangan ini.

Jusoh berkata aduan telah dibuat sebelum ini dan baru-baru ini, pihak berwajib menyewa sebuah jengkaut untuk kerja-kerja membersihkan parit dan tali air tetapi hanya dilaksanakan dua hari sahaja.

Katanya tempoh itu tidak mencukupi memandangkan parit terlibat adalah sepanjang lebih dua kilometer.

Menurutnya pesawah juga tidak mampu menanggung kos minyak jengkaut memandangkan kemerosotan hasil jualan padi musim lepas, selain harga benih padi dan upah bajak sawah yang meningkat.

Jusoh berkata sekiranya kerja menabur benih lewat dilakukan pesawah akan berdepan risiko tanaman padi rosak akibat banjir pada hujung tahun. 

Beliau berkata sebahagian besar pesawah mungkin terpaksa mengambil keputusan untuk tidak lagi mengusahakan padi pada musim akan datang, jika masalah itu berlarutan.

“Mereka sudah tidak ada pendapatan untuk mengusahakan lagi sawah pada masa akan datang kerana sebanyak dua musim pesawah kerugian termasuk musim ini jika isu parit tersumbat tidak diselesaikan.

“Ini sudah tentu akan turut menyumbang kepada pengurangan bekalan beras negara kerana kawasan padi seluas kira-kira 101 hektar tidak diusahakan lagi,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan