AM

PRK Nenggiri: Pak Do, Mak Do Tak Sabar Mengundi

12/08/2024 01:43 PM

GUA MUSANG, 12 Ogos (Bernama) -- Daripada nama gelarannya ‘Pak Do’ mungkin ramai yang pertama kali berinteraksi dengannya, terutama mereka yang dari luar negeri Kelantan, akan terlebih dahulu memberi ucapan salam.

Menetap di Kampung Chegar Bonggor Batu 5, Renok, Nenggiri, kehidupan warga emas To Bong Sing, 71, tidak jauh berbeza dengan jiran-jirannya yang majoritinya Melayu, dari segi reka bentuk dan hiasan rumah, malah juga bahasanya, yang jelas fasih bertutur dalam loghat Kelantan.

“Di sini sudah macam menjadi budaya, tidak pelik gelaran itu, memang orang tua tidak kisah bangsa dipanggil Pak Do untuk lelaki, yang perempuan pula Mak Do,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya.

Beliau dan isterinya, serta seorang anaknya yang tinggal serumah merupakan antara 0.2 peratus pengundi berbangsa Cina daripada keseluruhan 20,259 pengundi berdaftar akan mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri(DUN) Nenggiri, Sabtu ini.

Menetap lebih 30 tahun di kampung berkenaan, Pak Do yang sebelum ini menoreh getah melihat sendiri kawasan DUN itu berubah tahun ke tahun.

Beliau berkata Kerajaan Persekutuan telah menyediakan infrastruktur asas seperti bekalan elektrik dan bekalan air, namun beliau berharap jalan keluar masuk ke kampung itu turut diberi perhatian, kerana setakat ini hanya ada satu sahaja laluan digunakan.

“Kerajaan sudah bagi api (elektrik) dan bekalan air meskipun jauh di dalam hutan, semua infrastruktur yang perlu telah disediakan dengan mencukupi, tapi sekarang kita nak jalan sahaja,” katanya

Beliau berkata keluarganya sering mendapat bantuan keperluan asas oleh kerana bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Mohd Azizi Abu Naim yang digugurkan keahlian oleh Bersatu kerana menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini, merupakan anak jati kampung itu.

Manakala, adik ipar Pak Do, Chan Jok Kee, 76, yang tinggal tidak jauh daripada rumahnya berkata beliau yang mengundi di Kampung Sungai Terah tidak sabar untuk turun mengundi dalam PRK kali ini.

“‘Kito bena dok sabar nok ngundi’ (saya sebenarnya tidak sabar untuk mengundi). Kalau boleh nak juga orang datang ambil saya untuk mengundi kerana saya tiada kenderaan,” katanya.

Seorang lagi pengundi Cina, To Ang Kain, 45, berharap calon yang bertanding akan sentiasa menyantuni rakyat meskipun selepas tamat tempoh berkempen PRK Nenggiri.

“Sudah menang nanti jangan sombong dan jangan tinggal orang kampung. Sudah menang buat kerja bersungguh-sungguh,” kata beliau yang bekerja sebagai penoreh getah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi Sabtu ini, manakala hari mengundi awal yang sepatutnya diadakan esok, tidak akan diadakan selepas kesemua 14 pengundi terlibat memilih mengundi secara pos susulan keperluan mereka bertugas sepanjang tempoh kempen.

PRK itu yang diadakan berikutan kekosongan kerusi selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi  digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun lepas.

Ia menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan Ke-15 tahun lepas, Mohd Azizi yang bertanding menggunakan logo PAS menewaskan calon BN Ab Aziz Yusoff dengan majoriti 810 undi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan