EKONOMI

Pengeluaran Getah Asli Malaysia Meningkat 16.8 Peratus Pada Jun 2024 - Perangkaan

12/08/2024 03:00 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat 16.8 peratus kepada 29,914 tan metrik pada Jun daripada 25,867 tan metrik pada bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Bagi perbandingan tahun ke tahun, pengeluaran getah asli menokok sebanyak 0.2 peratus daripada 29,867 tan metrik pada Jun 2023.

“Pengeluaran getah asli Malaysia bagi Mei 2024 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (87.6 peratus) berbanding sektor estet (12.4 peratus),” kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Berdasarkan laporan Malaysia Rubber Board Digest diterbitkan pada Jun 2024, DoSM berkata pasaran getah Kuala Lumpur bergerak aliran menurun bersama data ekonomi China yang lemah.

“Sentimen pasaran juga terjejas oleh tarif baharu Kesatuan Eropah terhadap China dan selepas Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) mengekalkan kadar faedah.

"Sentimen global juga terjejas oleh permintaan lemah yang berterusan terutamanya dari China dan ketidaktentuan mengenai dasar monetari AS," katanya.

Pada Jun 2024, harga purata bulanan bagi lateks pekat meningkat 4.4 peratus kepada 775.19 sen sekilogram daripada 742.36 sen pada Mei 2024 manakala getah sekerap menokok 7.7 peratus kepada 707.51 sen sekilogram daripada 657.16 sen pada bulan sebelumnya.

Menurut Jabatan Perangkaan, harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (GMM) naik antara 3.3 peratus dan 4.4 peratus pada Jun 2024 berbanding bulan sebelumnya.

Sementara itu, jumlah stok simpanan getah asli pada Jun 2024 turun 8.5 peratus kepada 160,535 tan metrik daripada 211,119 tan metrik pada April 2024 dengan kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 90.1 peratus dan diikuti kilang pengguna getah (9.8 peratus) serta estet getah (0.1 peratus).

Eksport getah asli Malaysia merosot 21.6 peratus kepada 39,800 tan metrik pada Jun 2024 daripada 50,798 tan metrik pada bulan sebelumnya.

“China kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli yang berjumlah 35.7 peratus daripada  keseluruhan eksport pada Jun 2024 dan diikuti Jerman (11.8 peratus), India (11.0 peratus), Emiriah Arab Bersatu (6.6 peratus) dan AS (6.2 peratus).

“Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah,” katanya.

Jabatan Perangkaan berkata produk sarung tangan getah menjadi eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.25 billion pada Jun 2024, turun 1.7 peratus berbanding RM1.25 bilion pada Mei 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan