AM > BERITA

LHDN Lantik 26 Selebriti, Pempengaruh Sebagai Rakan Strategik

28/12/2024 02:57 PM

PUTRAJAYA, 28 Dis (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melantik 26 pempengaruh media sosial serta selebriti sebagai rakan strategik bagi menghasilkan kandungan yang menjurus kepada kesedaran, pendidikan dan tanggungjawab percukaian kepada negara.

LHDN dalam kenyataan hari ini berkata pempengaruh yang dilantik sebagai Rakan Strategik HASiL (RASH) 2.0 terdiri daripada pelbagai bidang dan latar belakang, antaranya keusahawanan, agama, lakonan, perubatan, fesyen dan gaya hidup, kecergasan dan kesihatan serta pengurusan kewangan.

"Pelantikan mereka dilihat sebagai satu perspektif baharu dalam membentuk persepsi baik dalam kalangan masyarakat umum, khasnya para peminat dan pengikut RASH 2.0 melalui kandungan liputan yang positif, khususnya melibatkan LHDN," menurutnya.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin dalam kenyataan sama berkata pelantikan selebriti dan pempengaruh dalam ekosistem percukaian penting untuk membentuk sentimen yang positif, membina kepercayaan dan kredibiliti seterusnya mewujudkan masyarakat yang bertanggungjawab. 

"Faktor keterlihatan (visibility) dan jangkauan (reach) merupakan aset penting pada pempengaruh yang dilihat mampu menggandakan usaha LHDN menyebar luas kesedaran dan pendidikan cukai kepada masyarakat seterusnya meningkatkan semangat patriotik dan tanggungjawab kepada negara," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan