AM

Aina Husna Bergurau Akan 'Pergi' Dahulu - Ibu

12/08/2024 04:06 PM

CHUKAI, 12 Ogos (Bernama) -- Haziyah Harun langsung tidak menyangka gurauan anaknya Aina Husna Mohamad Husaini, 25, bulan lepas yang dia akan ‘pergi dahulu’, bagaikan petanda yang mereka akan berpisah selamanya.

Ketika ini Aina Husna dari Selayang, Selangor dan Yusof Kassam, 66, dari Raub, Pahang, masih hilang selepas bot nelayan dinaiki mereka untuk mencandat sotong dan memancing di perairan Kemaman, di sini dilanggar sebuah tongkang, kira-kira pukul 6.30 pagi semalam. 

Dua yang terkorban dalam nahas berkenaan setakat pagi ini ialah Siti Zamimah Mohman Zobini, 29, dan pembantu tekong Shahril Ismail, 50.

Haziyah Harun, 63, yang terselamat dalam insiden itu berkata bulan lepas Aina Husna pernah bergurau dengan berkata “agaknya dalam keluarga kita siapa yang akan pergi dahulu? Mungkin saya”.

"Saya betul-betul tak sangka…,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kemaman, di sini hari ini. 

Beliau berkata kejadian berlaku sekelip mata, apabila dalam kegelapan malam bot mereka dilanggar tongkang berkenaan.

"Saya nampak anak saya tercampak, begitu juga beg dan barangan di atas bot. Tidak lama kemudian, bot terbalik dan terkena kepala saya yang terjatuh ke bawah bot. Saya terkapai-kapai cuba selamatkan diri, ketika itu anak saya sudah hilang dari pandangan. Jeritan saya memanggil nama mereka tidak bersahut," katanya yang diselamatkan nelayan berhampiran, dan masih berharap anaknya itu ditemui. 

Lima yang terselamat dalam kejadian itu ialah kakak kepada Aina Husna, Ain Farhana, 30, Haziyah, tekong, Saipul Ridzuan Osman, 50, dan dua lagi dari Raub iaitu Rosnawi Harun, 50, dan Mat Ali Alahan, 66.

Operasi hari kedua hari ini melibatkan 25 anggota dari pelbagai agensi penyelamat termasuk APMM, polis, dan Tentera Laut Diraja Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan