AM

100,000 Pengunjung Dijangka Hadiri Program MADANI Rakyat Di Johor

13/08/2024 01:17 PM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Seramai 100,000 pengunjung dijangka menghadiri Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan yang akan berlangsung selama tiga hari bermula Khamis hingga Sabtu ini di Dataran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor Bahru, Johor.

Ketua Penolong Pengarah Seksyen Program Strategik dan Komunikasi Korporat, Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri Raslina Yahya berkata program kali ini memberi fokus kepada pencapaian setahun Ekonomi MADANI dengan Kementerian Ekonomi selaku kementerian peneraju. 

“Pelbagai perkhidmatan kerajaan dan agensi ditawarkan secara langsung kepada rakyat khususnya mereka yang berada di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

“Orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan seperti kaunter saman trafik PDRM dengan diskaun 50 peratus, kaunter bayaran cukai tanah, pemberian benih pokok percuma, kaunter saringan kesihatan dan pertukaran topi keledar secara percuma,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

Beliau berkata pelbagai aktiviti untuk kanak-kanak dan seisi keluarga turut disediakan seperti zoo haiwan jinak, aktiviti berkuda dan pameran pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Kecerdasan Buatan (AI).

Kira-kira 1,000 tempat letak kenderaan selain bas ulang alik juga disediakan kepada pengunjung yang hadir. 

Sehubungan itu, orang ramai dijemput untuk bersama-sama hadir memeriahkan program yang diadakan hingga 10 malam, manakala pada 17 Ogos (Sabtu) bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang.

Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan merangkumi negeri Johor, Negeri Sembilan dan Melaka itu dianjurkan Pejabat Perdana Menteri melalui PACU dengan kerjasama strategik Kementerian Ekonomi dan kerajaan Johor.

Ia merupakan kesinambungan kepada Program Setahun Kerajaan MADANI yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Disember 2023.

Program ini diteruskan ke peringkat negeri mengikut zon bagi memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk bersama-sama memahami dan menilai dasar serta inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan