AM

Penduduk Nenggiri Mengeluh Air Tandak Kotor Akibat Pembalakan

13/08/2024 02:02 PM

GUA MUSANG, 13 Ogos (Bernama) -- Sebahagian besar kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, di sini masih bergantung kepada air tandak daripada sumber air bukit untuk menjalani kehidupan seharian.

Bagaimanapun, satu-satunya sumber bekalan asas itu kini keruh dan kadang-kala berselut terutamanya selepas hujan berikutan sungai menjadi sumber air tandak mereka tercemar yang didakwa akibat aktiviti pembalakan.

Pengerusi Air Tandak Kg Jerek Wan Zahari Wan Haron berkata terdapat 10 kampung bergantung dengan bekalan air tandak dari Sungai Tasin berhadapan dengan masalah itu yang sudah berlarutan selama beberapa tahun.

"Di kawasan Jerek sahaja, ada lebih 2,000 penduduk serta kemudahan asas lain termasuk sekolah rendah, sekolah menengah, pusat tahfiz dan sebuah klinik kesihatan.

"Bila hujan turun, air keruh dan kadang-kadang berselut dan boleh berlarutan sehingga tiga hari," katanya kepada Bernama.

Air tandak merujuk kepada empangan kecil yang selalunya diusahakan penduduk setempat sebagai kawasan tadahan air mereka.

Wan Zahari berkata sebelum ini, penduduk kampung berjaya menghentikan aktiviti pembalakan buat seketika susulan bantahan dibuat terhadap kontraktor terlibat yang melalui Kg Jerek untuk ke kawasan pembalakan.

Bagaimanapun, beliau berkata aktiviti pembalakan kembali aktif sejak tiga bulan lepas berikutan kontraktor berkenaan menggunakan jalan lain untuk naik ke atas bukit.

"Saya amat berharap pembalakan dihentikan. Kasihan orang kampung, punca air minum hanya satu sungai sahaja iaitu Sungai Tasin," katanya.

Masalah sama turut disuarakan penduduk Kg Pulau Setelu Shahrul Izham Ahmat, 23, yang turut bergantung kepada air tandak untuk menjalani kehidupan seharian.

Shahrul Izham berkata aktiviti pembalakan dan penerokaan tanah bukan sahaja menyebabkan air tandak keruh, malah turut menyebabkan Sungai Nenggiri bertukar warna seperti teh tarik.

"Kalau hujan lebat, kayu-kayu hanyut dan menyebabkan air tandak tersumbat. Jadi penduduk kampung terpaksa gotong-royong atau upah orang untuk baiki," katanya sambil menambah masalah itu menyebabkan kira-kira 300 penduduk kampung berkenaan terjejas bekalan air.

Tinjauan Bernama di Jambatan Pulau Setelu mendapati bongkah kayu dan ranting yang hanyut dibawa arus Sungai Nenggiri turut tersangkut dan berlonggok pada tiang jambatan.

Penduduk Kg Bertam Baru Rohaya Jaafar, 38, pula berkata pencemaran Sungai Nenggiri semakin teruk sejak kejadian banjir besar yang melanda Kelantan iaitu Bah Kuning pada 2014.

"Sebelum banjir, air Sungai Nenggiri ada juga jernih terutamanya semasa musim kering, tetapi sekarang masa kemarau pun air sungai kotor," katanya.

Ibu kepada empat anak itu berkata pencemaran sungai akibat aktiviti pembalakan turut menjejaskan ekonomi nelayan darat dan kehidupan sosial masyarakat setempat.

"Masa saya kecil dulu, kami boleh mandi-manda di Sungai Nenggiri, kadang-kadang kami menangguk ikan dan udang di tepi sungai. Tetapi sekarang semua aktiviti itu tiada lagi," katanya.

Seorang pemilik warung di Kg Jerek Siti Nor Atikah Kamaruzaman, 29, berkata penduduk kampung sentiasa menyimpan air  bersih sebagai persediaan sebelum hujan kerana air keruh biasanya akan berlarutan sehingga tiga hari.

“Bila dah nampak cuaca mendung, kami simpan air dalam tong atau tangki sementara air jernih lagi, sebab bila hujan dah turun, air jadi keruh macam teh tarik,” katanya.

DUN Nenggiri akan berhadapan dengan pilihan raya kecil (PRK) Sabtu ini yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan