AM

Pelbagai festival kebudayaan dianjur untuk tarik pengembara global ke Pulau Pinang

14/08/2024 12:25 AM

GEORGE TOWN, 13 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang sekali lagi mengulangi komitmen untuk mempromosi Pulau Mutiara sebagai destinasi pelancongan budaya terkemuka melalui penganjuran festival seni bagi menarik kehadiran pengembara global. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Wong Hon Wai berkata kerancakan budaya di negeri itu melambangkan keunikannya dan Pulau Mutiara mempunyai reputasi sebagai tempat tumpuan pelbagai budaya yang mampu wujud bersama selain boleh bergabung dengan sempurna.

“Warisan tempatan Pulau Pinang kaya dengan pengaruh dari seluruh dunia sekali gus menjadikan ia sebagai sebuah bandaraya antarabangsa yang mampu menarik ramai orang daripada segenap lapisan masyarakat.

“Pelbagai acara kebudayaan telah dijadualkan bagi tempoh empat bulan akan datang di kawasan tanah besar dan pulau termasuk Perarakan Yosakoi Pulau Pinang di Persiaran Karpal Singh yang berlangsung pada 14 Sept dan Festival Pinggiran Butterworth dari 14 hingga 15 Sept di Padang Pemuda Merdeka,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata Pulau Pinang adalah kediaman bagi ramai ekspatriat Jepun serta pemegang pas Malaysia Rumah Keduaku dan lebih 100 syarikat Jepun berada di negeri itu.

"Kami percaya Perarakan Yosakoi Pulau Pinang adalah acara Yosakoi terbesar di Asia Tenggara dan ia bukan sahaja memperkaya landskap kebudayaan tetapi juga memperkukuh reputasi Pulau Mutiara sebagai bandaraya antarabangsa di mana budaya bertumpu dan berkembang pesat," katanya .

Beliau berkata Yosakoi, sebagai acara tarian jalanan moden yang mengundang interpretasi kontemporari budaya Jepun, membolehkan ia dan warisan tempatan Malaysia bergabung dengan sempurna.

Wong juga berkata Regatta Perahu Naga Antarabangsa Pulau Pinang akan kembali tahun ini di Empangan Teluk Bahang dari 23 hingga 24 Nov dengan lebih 60 pasukan termasuk dari China, Hong Kong, United Kingdom, Australia, Belanda, Jepun, Singapura, Thailand, Emiriah Arab Bersatu, Indonesia, Brunei dan Filipina menyatakan minat mereka untuk mengambil bahagian.

Beliau juga berkata ketibaan pelancong asing ke Pulau Pinang telah meningkat dalam tiga bulan pertama 2024 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya dengan peningkatan sebanyak 370.22 peratus dari China (4,746 pada 2023; 22,420 pada 2024) diikuti 30.44 peratus dari Indonesia (75,141 pada 2023; 98,013 pada 2024) dan 47.7 peratus dari Jepun.

Ketibaan pelancong dari negara lain seperti Singapura, Thailand dan UK pula meningkat sebanyak 75 peratus, katanya.

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan