AM

Jenazah Bekas Mufti Negeri Sembilan Selamat Dikebumikan

14/08/2024 12:27 PM

SEREMBAN, 14 Ogos (Bernama) -- Jenazah bekas Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Makam Tuan Sheikh Hj Mohd Said, Sikamat di sini pada 8.30 pagi.

Terdahulu, jenazah Allahyarham dimandi dan dikafankan di Masjid Taman Marida sebelum dibawa ke Masjid Negeri untuk disolatkan.

Solat jenazah diimamkan Mufti Negeri Sembilan Prof Madya Datuk Dr Faudzinaim Badaruddin pada 7.40 pagi.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham dan turut serta menunaikan solat jenazah.

Hadir sama, Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun. 

Kira-kira 300 orang menghadiri pengebumian Allahyarham yang berlangsung dalam keadaan hiba.

Allahyarham meninggal dunia di kediamannya di Taman Marida, Senawang di sini pada 7.43 malam tadi, pada usia 79 tahun akibat komplikasi barah hati.

Mohd Yusof dilantik sebagai Mufti keempat kerajaan Negeri Sembilan menggantikan Datuk Mohd Murtadza Ahmad pada 1 April 2009.

Allahyarham yang juga penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Sembilan pada 2005 meninggalkan seorang isteri Datin Pahariah Jamaludin dan enam anak iaitu tiga lelaki dan tiga perempuan serta 20 cucu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan