AM

Taman Pulasan Menyemai Semangat Perpaduan Melalui Program Keceriaan 

14/08/2024 05:37 PM

Oleh Ima Aimi Nadia Ibrahim

JITRA, 14 Ogos (Bernama) -- Kegigihan warga Taman Pulasan dekat sini mencambahkan idea bagi memperkasakan semangat perpaduan melalui pelbagai aktiviti keceriaan bukan sahaja berjaya mewujudkan suasana harmoni, malah menjadikan kawasan kejiranan indah dipandang. 

Sejak 2016, komuniti kejiranan itu berganding bahu menganjurkan pelbagai aktiviti keceriaan melalui gotong-royong sekali gus memperkukuh hubungan dan kerjasama sesama jiran. 

Ketua Jiran Warga Emas Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Pulasan Shoberi Hashim, 68, berkata antara program gotong-royong seperti menanam pokok, membina landskap, pembersihan kawasan rumah, surau serta Pusat Jagaan Rumah Transit Rumah Transit Negeri Kedah yang juga terletak di taman itu.

"Aktiviti kami tak terhad setiap kali musim merdeka saja, tetapi dijalankan sepanjang masa untuk menerapkan, menyubur dan menyemarakkan semangat perpaduan serta patriotisme. Ogos pula menjadi momen paling sesuai untuk melipatgandakan usaha memperkasakan perpaduan.l

"Tema Hari Kebangsaan iaitu Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka perlu diangkat sewajarnya agar 'jiwa merdeka' itu benar-benar wujud dalam kalangan rakyat," katanya kepada Bernama sambil menambah program seumpamanya amat diminati dan mendapat sambutan dari penduduk. 

Pesara kerajaan yang mesra disapa sebagai Pak Shoberi itu turut mengetuai Pasukan Ceria Merdeka, yang bertanggungjawab menghidupkan suasana menjelang tarikh keramat 31 Ogos.

“Pengalaman yang ada saya gunakan untuk tubuhkan pasukan keceriaan ini. Kemahiran yang ada digunakan untuk memupuk semangat kerja berpasukan dalam kalangan penduduk," katanya yang juga bekas petugas Biro Tatanegara.

Pak Shoberi berkata walaupun dengan bajet terhad penduduk berjaya mencipta dekorasi menarik menggunakan bahan kitar semula seperti tempurung dan botol plastik sekali gus memupuk kreativiti serta menjaga kelestarian alam sekitar. 

Taman Pulasan pernah dinobatkan sebagai johan dalam Pertandingan Ceria Merdeka 2023 anjuran Jabatan Perpaduan dan Integriti Nasional Daerah Kubang Pasu. Walaupun tiada pertandingan seumpama tahun ini, semangat penduduk tetap utuh dan meneruskan tradisi untuk memastikan Jalur Gemilang megah berkibar di seluruh taman berkenaan.

Sementara itu, Azizan Ismail, 56, dan rakannya Baharuddin Ibrahim, 52, berkata mereka sangat teruja setiap kali terlibat dengan program gotong-royong yang dianjurkan kerana selain berpeluang beramah mesra ia juga dapat membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan pesara seperti mereka.

"Kami bukan sahaja nak wujudkan suasana harmoni dan kawasan perumahan yang cantik. Bila dah hampir usia warga emas ini, kami juga nak pastikan kami ada aktiviti dan tidak terperap di rumah saja dan bila berpeluh badan pun sihat.

"Selain itu, kita kena terap dan pupuk perpaduan serta keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negara ini daripada peringkat awal terutamanya kepada generasi anak muda dan aktiviti gotong-royong paling senang nak laksana yang libatkan pelbagai peringkat umur," kata mereka.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan