JENAYAH & MAHKAMAH

Saya Di Rumah, Bukan Berada Berhampiran Lapangan Terbang Changi - Anak Guan Eng

14/08/2024 10:13 PM

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Anak lelaki kedua bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa meskipun di Singapura pada 29 Feb 2020, beliau tidak berada berhampiran Lapangan Terbang Changi.

Clint Lim Way Chau, 31, berkata pada masa itu, beliau bekerja di sebuah syarikat di Singapura sebagai penganalisis hartanah dan berada bersama rakan-rakannya di rumah.

“Ia adalah hari Sabtu dan ketika pandemik COVID-19,” katanya yang bekerja di republik itu dari 2019 hingga 2021.

Way Chau, yang kini bertugas sebagai pengurus besar bagi sebuah syarikat swasta di Pulau Pinang, berkata sebenarnya beliau ke Singapura sembilan hari sebelum berita palsu mengenainya disebarkan oleh penulis blog Papagomo, atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, pada 29 Feb 2020.

Beliau berkata demikian ketika disoal peguam Logen Eskandar Abdullah, yang mewakili Wan Muhammad Azri, dalam saman fitnah RM3 juta yang difailkan oleh Way Chau dan bapanya terhadap penulis blog itu kerana mendakwa Way Chau membawa masuk RM2 juta ke Singapura tanpa mengisytiharkannya.

Way Chau juga berkata beliau tidak membuat laporan berhubung dakwaan itu kepada polis atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia kerana menyerahkan perkara tersebut kepada budi bicara bapanya.

Pada 2021, kedua-dua beranak itu memfailkan saman yang mendakwa mefendan telah menyiarkan kenyataan berbaur fitnah di laman Facebook beliau bahawa Way Chau telah ditahan di Lapangan Terbang Changi pada 29 Feb 2020 kerana membawa masuk wang tunai sebanyak RM2 juta tanpa mengisytiharkannya.

Guan Eng berkata defendan, yang memuat naik hantaran itu di laman Facebook di bawah nama 'Papa Azri' pada 14 Mac 2020, mendakwa beliau (Guan Eng) telah ke Singapura pada 29 Feb 2020 selepas anaknya ditahan di Lapangan Terbang Changi.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Eddie Yeo Soon Chye bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan