AM

Hari Kebangsaan: Kapasiti Tempat Duduk Ditambah, Jamin Keselesaan Pengunjung - Fahmi

15/08/2024 06:46 PM

PUTRAJAYA, 15 Ogos (Bernama) -- Kapasiti tempat duduk awam bertingkat di Dataran Putrajaya di sini akan ditambah bagi menjamin keselesaan orang ramai yang akan berhimpun di kawasan itu bagi menyaksikan pelbagai persembahan pada sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos ini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata tambahan kemudahan itu juga bertujuan memastikan semua pengunjung berskala besar, yang dianggarkan menjangkau 200,000 orang itu dapat merasai kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 tahun ini.

“Secara umumnya kita akan gandakan jumlahnya berbanding tahun lepas,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan oleh Rakan Strategik Kementerian Komunikasi bagi Sambutan HKHM 2024, di sini hari ini.

Beliau berkata bagi memudahkan dan menambah lagi keselesaan pengunjung pada hari sambutan nanti, 14 skrin LED bersaiz gergasi turut ditempatkan di beberapa tempat di sini di sepanjang jalan menghala ke arah Dataran Putrajaya. 

Pada sambutan Hari Kebangsaan 2023, lebih 100,000 pengunjung hadir menyaksikan kemeriahan sambutan itu yang merupakan anjuran sulung Kerajaan Perpaduan.

Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Hari Malaysia (HKHM) 2024 berkata perkhidmatan ‘water taxi’ turut disediakan oleh Perbadanan Putrajaya (PPJ) untuk memudahkan pergerakan pengunjung dari kawasan parkir ke Dataran Putrajaya.

“Saya difahamkan ada beberapa laluan akan ditutup pada 31 Ogos ini untuk pastikan pengunjung dapat menikmati suasana sambutan Hari Kebangsaan dengan selesa. Jadi, kita sediakan beberapa kemudahan pengangkutan awam termasuk ‘water taxi’.

“Ada sekurang-kurangnya empat lokasi boleh naik dan bawa kita ke lokasi berdekatan dengan kawasan perbarisan serta perarakan,” katanya.

“Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka” dipilih sebagai tema sambutan HKHM tahun ini.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan