BERITA TERGEMPAR   Pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional - PM Anwar | PM Anwar umum pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi | 
 EKONOMI

Perbelanjaan, Pelaburan Berdaya Tahan Dorong Ekonomi Malaysia 5.9 Peratus Pada Suku Kedua, Tertinggi Sejak Suku Keempat 2022

16/08/2024 02:00 PM

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 5.9 peratus pada suku kedua 2024, melebihi unjuran awal 5.8 peratus, didorong oleh perbelanjaan isi rumah yang baik, aktiviti pelaburan yang giat dan peningkatan ketara dalam ketibaan pelancong.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata bank pusat itu berpandangan pertumbuhan Malaysia berada di landasan untuk mengakhiri tahun ini menghampiri julat unjuran tertinggi 4.0 hingga 5.0 peratus.

Ekonomi negara berkembang sebanyak 4.2 peratus pada suku pertama 2024, menjadikan pertumbuhan separuh pertama kepada purata 5.05 peratus.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 2.9 peratus pada suku kedua 2023.

“Pertumbuhan KDNK sebanyak 5.9 peratus pada suku kedua 2024 adalah yang tertinggi sejak suku keempat 2022,” katanya pada sidang media bagi mengumumkan prestasi KDNK suku kedua 2024 di sini hari ini.

Mengenai prestasi sektor, Abdul Rasheed berkata sektor perkhidmatan berkembang sebanyak 5.9 peratus pada suku kedua 2024 berbanding 4.8 peratus pada suku pertama 2024, disumbangkan oleh peningkatan menyeluruh dalam perkhidmatan berkaitan pengguna dan perniagaan.

“Sektor pembuatan meningkat 4.7 peratus pada suku kedua 2024 selepas merekodkan pengembangan 1.9 peratus pada suku sebelumnya, didorong oleh pertumbuhan lebih tinggi merentas eksport dan industri berorientasikan domestik,” katanya.

Abdul Rasheed berkata sektor pertanian pula berkembang kepada 7.2 peratus pada suku kedua 2024 berbanding 1.7 peratus pada suku pertama 2024, disumbangkan oleh pengeluaran yang lebih kukuh dalam subsektor sawit dan perikanan.

Katanya sektor pembinaan mencatat pertumbuhan lebih baik sebanyak 17.3 peratus pada suku kedua 2024 berbanding 11.9 peratus pada suku pertama 2024, disokong oleh lebih banyak aktiviti, khususnya dalam subsektor kejuruteraan awam dan perdagangan khusus.

Menurutnya sektor perlombongan memperlihatkan pertumbuhan sederhana sebanyak 2.7 peratus selepas mencatat 5.7 peratus pada suku pertama 2024, berikutan pertumbuhan yang lebih rendah dalam subsektor minyak dan gas akibat gangguan pengeluaran pada Mei.

Abdul Rasheed dalam kenyataan berkata pertumbuhan pada separuh kedua 2024 akan didorong oleh perbelanjaan dalam negeri dengan sokongan permintaan luaran yang terus kukuh.

Sementara itu BNM dalam kenyataan yang sama memaklumkan, di dalam negeri, perbelanjaan isi rumah akan disokong oleh pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan serta langkah-langkah dasar.

Aktiviti pelaburan akan didorong oleh projek berbilang tahun yang terus dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, katanya.

Bank pusat berkata, inisiatif pemangkin yang diumumkan dalam pelan-pelan induk nasional, serta lebih banyak pelaburan yang direalisasikan juga merupakan pendorong utama untuk aktiviti pelaburan.

Dari segi luaran, BNM berpendapat peningkatan kitaran teknologi global yang berterusan dan permintaan yang terus kukuh dalam barangan bukan elektrik dan elektronik dijangka meningkatkan eksport.

Ketibaan dan perbelanjaan pelancong dijangka terus bertambah baik, katanya.

Menurut BNM, risiko pertumbuhan menjadi lebih tinggi merangkumi limpahan peningkatan kitaran teknologi yang lebih besar, aktiviti pelancongan yang lebih giat serta pelaksanaan projek pelaburan sedia ada dan baharu yang lebih cepat.

“Risiko prospek pertumbuhan Malaysia menjadi perlahan berpunca daripada pengurangan permintaan luaran, konflik geopolitik yang semakin meruncing dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan