AM

SSPA: Prestasi Perkhidmatan Awam Diutamakan, Kebajikan Didahulukan

16/08/2024 04:06 PM

PUTRAJAYA, 16 Ogos (Bernama) -- Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang berkuat kuasa 1 Disember ini mengutamakan prestasi perkhidmatan awam dan mendahulukan kebajikan penjawat awam.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkata kajian SSPA yang bermula Julai tahun lepas mengambil kira pelbagai faktor agar fokus diberikan kepada aspek kemampanan saraan, pembangunan organisasi dan pengurusan bakat.

Dalam kenyataan hari ini JPA berkata SSPA mengandungi roh dan semangat reformasi perkhidmatan awam bagi menjayakan agenda Malaysia MADANI termasuk meningkatkan kadar produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam, meningkatkan kesediaan penjawat awam dalam melaksanakan perubahan dan meningkatkan daya saing negara.

"SSPA merupakan satu inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk memperbaharui dan meningkatkan kualiti perkhidmatan awam," menurut kenyataan itu.

Justeru, JPA berkata fokus SSPA tertumpu kepada aspek meningkatkan produktiviti perkhidmatan awam, menangani pendapatan yang tidak seiring dengan kos sara hidup serta mengukuhkan kemampanan fiskal negara.

JPA berkata melalui SSPA, kerajaan akan melaksanakan penambahbaikan menerusi pengukuhan elemen-elemen perkhidmatan awam iaitu pengoptimuman sumber dan peningkatan produktiviti, pengurusan dan pembangunan modal insan, pengukuhan kepimpinan, pengukuhan tatakelola dan pemerkasaan penyampaian perkhidmatan.

SSPA dirangka sebagai satu sistem saraan yang berteraskan kepada aspek prestasi selaras dengan hasrat untuk memastikan peningkatan produktiviti dalam perkhidmatan awam dan menjaga kesejahteraan pegawai, prinsip pemberian ganjaran berasaskan prestasi dan tatakelakuan.

JPA memaklumkan kerajaan turut komited dalam memastikan nasib penjawat awam sentiasa terbela dengan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional; dan tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi.

Pemberian pelarasan gaji itu akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Disember 2024 bagi Fasa 1 dan Fasa 2 pada 1 Januari 2026.

JPA turut memaklumkan kerajaan bersetuju supaya Gaji Permulaan Terendah (GPT) dalam perkhidmatan awam ditambah baik kepada RM1,500 sebulan.

"Gaji penjawat awam yang sedang berkhidmat akan diselaraskan pada 1 Disember 2024, manakala penyelarasan pencen juga akan dilaksanakan berdasarkan pelarasan ke atas gaji akhir pesara," menurut kenyataan itu.

Selain itu, kemajuan kerjaya Kumpulan Pengurusan dan Profesional Perkhidmatan Awam juga akan ditambah baik antaranya kenaikan pangkat secara one-off melibatkan pegawai Gred 41 hingga Gred 48 secara Khas Untuk Penyandang (KUP) bagi pegawai yang telah memenuhi tempoh dan kriteria yang ditetapkan.

Urusan itu hanya bagi skim perkhidmatan yang kenaikan pangkatnya terhad kepada kekosongan jawatan sahaja.

Selain itu, pengiktirafan kepakaran diberikan kepada pegawai yang berkelayakan sebagai pegawai Subject Matter Expert (SME) dilaksanakan melalui urusan pemangkuan atau kenaikan pangkat tanpa kekosongan secara Khas Untuk Penyandang (KUP) dari Gred 48 hingga ke Gred Khas C.

JPA memaklumkan fokus akan diberikan kepada tujuh bidang tujahan baharu seperti kecerdasan buatan (Al), keselamatan siber, transformasi digital, teknologi makanan, peralihan tenaga, persempadanan negara dan pengurusan bencana.

JPA memaklumkan perincian berhubung pelarasan gaji dan pengukuhan elemen-elemen perkhidmatan awam akan dikeluarkan.

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan