DUNIA

Pembikin Filem Terkemuka Dan Saintis Berganding Bahu Pulihara Harimau Malaya

16/08/2024 05:12 PM

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Pembikin filem terkenal dari Itali, Paolo Volponi dan ahli entomologi dari Poland Marta Skowron-Volponi akan menyampaikan ceramah menarik yang menekankan keperluan mendesak untuk usaha pemuliharaan bagi menyelamatkan Harimau Malaya yang semakin terancam serta melindungi kepelbagaian biodiversiti hutan hujan di Semenanjung.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Kedutaan Poland mengumumkan bahawa misi itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai populasi Harimau Malaya yang semakin merosot serta kepentingan memelihara habitat semula jadinya.

Usaha kolaboratif ini, dengan kerjasama Perbadanan Taman Negeri Perak, renjer Taman Diraja Belum, dan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan, dijadualkan berlangsung di Pisco KL pada Selasa (20 Ogos) pukul 8 malam.

"Paolo Volponi dan Marta Skowron-Volponi akan berkongsi pengalaman dan pandangan mereka daripada kerja lapangan bersama Orang Asli, menyoroti cabaran yang dihadapi oleh Harimau Malaya dan ekosistem hutan hujan Malaya yang lebih luas.

Mereka akan menekankan peranan penting usaha pemuliharaan dalam melindungi makhluk yang hebat dan agung ini serta  hidupan liar unik di rantau ini," katanya.

Menurut kenyataan itu, dengan sokongan Perbadanan Taman Negeri Perak, renjer Taman Diraja Belum, dan komuniti Orang Asli tempatan, misi Paolo Volponi dan Marta Skowron-Volponi ini memperlihatkan pendekatan kolaboratif dan berasaskan komuniti dalam pemuliharaan hidupan liar.

Ia berkata dengan melibatkan komuniti tempatan, mereka berusaha ke arah penyelesaian yang mampan bagi pemeliharaan Harimau Malaya dan habitatnya.

"Acara ini dianjurkan bersama oleh Kedutaan Poland dan Kedutaan Itali, menekankan kerjasama antarabangsa dan komitmen terhadap usaha pemuliharaan.

Melalui kerjasama ini, kedutaan-kedutaan berkenaan menyasarkan untuk memperkuatkan mesej pemuliharaan dan memberi inspirasi kepada usaha melindungi Harimau Malaya dan ekosistem rapuh yang didiaminya," katanya.

Ia juga berkata para wartawan, peminat pemuliharaan, dan orang ramai dijemput menghadiri ceramah yang membuka mata ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai cabaran pemuliharaan yang dihadapi oleh Harimau Malaya serta kepentingan kritikal untuk memelihara hidupan liar hutan hujan di Semenanjung.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan