AM

Wanita Perlu Manfaat ICT Dan AI Untuk Tingkatkan Impak Dalam Industri

16/08/2024 06:08 PM

Oleh Mohamad Syazwan Mustafa

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Wanita perlu memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta kecerdasan buatan (AI) untuk memaksimumkan potensi dan penyertaan mereka dalam industri digital.

Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications Wing K. Lee berkata amat penting bagi bagi wanita khususnya golongan muda terlibat dalam landskap digital lebih-lebih dengan akses Internet yang ada pada hari ini.

“Nasihat saya (kepada wanita) agar terus menggunakan Internet, kekal ingin tahu, terus bersemangat (menimba ilmu) dan mengikuti perkembangan terkini serta mahir dalam menggunakan AI. Ini kerana AI mungkin tidak akan mengambil alih pekerjaan kita, tetapi orang yang tahu bagaimana menggunakan AI akan berbuat demikian.

“Dengan kuasa Internet dan hak akses yang sama rata, mereka boleh menggunakan Internet untuk belajar dan mendapatkan sumber. Kunci kepada penggunaan AI bukanlah terletak pada kemahiran teknikal yang mendalam untuk membangunkan AI, tetapi lebih pada kemahiran dalam menggunakan alat AI seperti ChatGPT dan Gemini,” katanya kepada Bernama.

Beliau ditemui selepas menjadi panel dalam sesi dialog bertajuk ‘Literasi Digital dan Pembangunan Kemahiran dalam ICT sebagai Kerjaya dalam Kalangan Belia Wanita’ pada Girls in ICT Forum 2024 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di sini semalam.

Sesi dialog yang dikendalikan oleh Ketua Pegawai Teknologi dan Inovasi MCMC Shamsul Izhan Abdul Majid itu turut menampilkan Ketua Pegawai Digital Kumpulan Maybank Kalyani Nair dan Ketua Pegawai Maklumat Maxis Ng May Ching sebagai panel.

Mengulas mengenai forum itu, Wing berkata inisiatif tersebut penting untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan belia wanita tentang kepentingan keselamatan serta pembabitan mereka dalam industri ICT dan AI. 

“Meningkatkan kesedaran adalah sesuatu yang kita perlu lakukan, sebagai sebuah negara kita perlu melabur dan saya memuji usaha dilakukan oleh kementerian dan MCMC untuk memacu kesedaran ini,” katanya sambil mengakui penyertaan wanita dalam sektor AI adalah penting untuk kejayaan pelaksanaan teknologi itu. 

Berkongsi pandangan yang sama, pensyarah kanan seni dan sains di International University of Malaya-Wales Dr Abdul Rahim berkata celik media dan kemahiran dalam ICT penting bagi setiap orang termasuk belia wanita bagi memenuhi keperluan pasaran pekerjaan digital yang ada sekarang.

Sementara itu, Ketua Data GX Bank Caroline Chong berpendapat majikan harus menyediakan ruang yang selamat untuk wanita mengembangkan kerjaya mereka. 

“Paling penting ialah aspek mental. Ia mesti merupakan tempat yang selamat supaya mereka (wanita)  tidak dipaksa untuk memilih antara kerjaya, keluarga, atau tanggungjawab sebagai ibu, isteri dan ahli keluarga.

“Selamat, dari segi budaya kerja pula bermaksud, memberikan kebebasan kepada mana-mana wanita dalam organisasi untuk mendepani cabaran tanpa sebarang prejudis terhadap mereka,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas sesi dialog bertajuk ‘Merapatkan Jurang Jantina dalam Teknologi: Memecahkan Kelaziman’.

Girls in ICT Forum 2024, yang menarik kehadiran 300 peserta termasuk pemimpin industri, tetamu dan pelajar universiti, merupakan sebahagian daripada inisiatif MCMC yang selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan memfokus kepada literasi, memperkasa sosial serta memperluaskan peluang dalam landskap teknologi Malaysia. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan