AM

Laporan Setahun Pencapaian Ekonomi Madani Tumpuan Hari Terakhir PMR Zon Selatan

17/08/2024 08:23 AM

JOHOR BAHRU, 17 Ogos (Bernama) -- Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan yang berakhir hari ini selepas tiga hari penganjurannya, akan tertumpu pada amanat dan Laporan Setahun Ekonomi  MADANI yang akan disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berdasarkan atur cara dikongsikan Kementerian Ekonomi, Perdana Menteri dijangka tiba pada 2.30 petang di pentas utama Dataran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi menghadiri Majlis Perasmian Penutup dan Laporan Setahun Ekonomi MADANI.

Orang ramai yang hadir pada majlis tersebut akan berpeluang menonton montaj yang memaparkan Pencapaian Ekonomi MADANI, selepas setahun ia dilancarkan pada Julai tahun lepas.

Perdana Menteri kemudiannya akan menyampaikan amanat dan selepas itu dijadual menghadiri Sesi Forum dan Dialog bertajuk Setahun Pencapaian Ekonomi MADANI bersama Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Kerangka Ekonomi MADANI dilancarkan pada 27 Julai 2023, iaitu kerangka ekonomi baharu Malaysia yang bertujuan mengangkat semula darjat dan martabat negara dengan menetapkan tujuh petunjuk prestasi utama sebagai sasaran jangka sederhana untuk dicapai dalam tempoh 10 tahun.

Sebelum acara kemuncak berkenaan, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dijadual mengadakan sesi Ask Minister Anything pada 11 pagi hingga 12.30 tengah hari di pentas utama, dengan pengunjung boleh bertanyakan soalan berkaitan dasar dan program terkini Kementerian Ekonomi serta perancangan ekonomi negara yang seterusnya.

Pengunjung yang hadir juga juga boleh mengambil peluang untuk menyertai aktiviti luar sehingga 6 petang, seperti perkhidmatan kesihatan, pengagihan benih pokok, padanan perniagaan, zoo haiwan jinakaktiviti menaiki kuda, pertandingan memancing, pertandingan e-sukan, pertandingan kereta kawalan jauh (RC) serta fun run lima kilometer.

Selain berpeluang membuat cabutan bertuah di reruai kementerian, pengunjung juga boleh melihat sendiri demonstrasi kraf, persembahan kebudayaan, pameran aset kerajaan daripada empat agensi, selain 2,125 kekosongan jawatan membabitkan 21 majikan menerusi Karnival Kerjaya MyFuture Jobs. 

Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan itu dianjurkan Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik Kementerian Ekonomi dan kerajaan Johor.

Menerusi 34 reruai kementerian serta agensi kerajaan dan negeri, sebanyak 175 perkhidmatan langsung akan tersedia pada program berkenaan khusus untuk rakyat terutamanya di zon selatan yang meliputi Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan