AM

Fadillah Santuni Komuniti Muslim Peru, Perkukuh Ukhuwah 

17/08/2024 09:12 AM

Oleh Nurul Hanis Izmir

LIMA (PERU), 17 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof bersama delegasi Malaysia dan pihak Kedutaan Malaysia di Peru berpeluang menyantuni komuniti Islam di Peru ketika menunaikan solat Jumaat di Masjid Magdalena Del Mar, Lima, di sini. 

Fadillah berkata selain mengukuhkan ukhuwah dan persaudaraan ummah, lawatan tersebut mencerminkan komitmen Malaysia dalam menyokong usaha dakwah oleh komuniti Muslim di negara itu, khususnya di Amerika Selatan.

Dalam kunjungan itu, beliau bertemu Presiden Persatuan Islam Lima Murad Hamide dan membincangkan mengenai peluang Malaysia dalam membantu komuniti Muslim di Peru.

“Pihak masjid juga menyatakan minat untuk bekerjasama dengan pihak Malaysia bagi meningkatkan pengetahuan, pemahaman dan penguasaan mengenai Islam.

“… khususnya dalam usaha mereka untuk menubuhkan sekolah antarabangsa Islam serta melaksanakan standard dan persijilan halal, yang akan memberi manfaat kepada komuniti Islam dan perniagaan tempatan di Peru,” katanya kepada pemberita di sini.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air turut menyampaikan sumbangan wakaf al-Quran terjemahan dalam bahasa Sepanyol dan Latin kepada pihak masjid.

Beliau berkata komuniti Islam Peru menghargai sumbangan tersebut yang akan membantu mereka menterjemah al-Quran dan seterusnya memudahkan pemahaman dan pengajaran agama Islam kepada masyarakat Peru.

Dianggarkan populasi Peru sekitar 34 juta orang dengan jumlah populasi Muslim kira-kira 5,000 orang.

Komuniti Muslim di Peru kebanyakannya terdiri daripada pendatang dari negara seperti Lubnan dan Palestin, serta sebilangan kecil rakyat tempatan yang memeluk Islam.

Fadillah sedang dalam rangka lawatan ke Peru untuk menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga (EMM), di bawah Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang berlangsung selama dua hari dari 15 hingga 16 Ogos.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan