AM

KPDN Harap MOF Beri Peruntukan Tambahan Teruskan Program Jualan Rahmah MADANI Tahun Depan

17/08/2024 03:05 PM

PORT DICKSON, 17 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berharap Kementerian Kewangan (MOF) akan menambah peruntukan sedia ada bagi meneruskan pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) pada tahun depan, kata Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata daripada peruntukan tambahan itu juga, program PJRM dapat ditambah baik dengan skala lebih besar menerusi inisiatif baharu yang akan diperkenalkan iaitu Karnival Mega Jualan Rahmah MADANI, berikutan sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

“Ia merupakan inisiatif di bawah Agenda Payung Rahmah MADANI dan PJRM yang paling popular. Untuk tahun ini, KPDN telah menerima peruntukan RM150 juta bagi pelaksanaan PJRM seluruh negara dan setakat 1 Jan hingga 31 Julai, 5,680 siri PJRM diadakan dengan 342 siri di Negeri Sembilan.

“Berdasarkan respons awam melalui kajian impak yang kita lakukan, mereka menganggap program ini membantu menangani kos sara hidup...beberapa siri dialog kini turut diadakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Jualan Rahmah MADANI di sini hari ini.

Armizan berkata pihaknya juga akan mengadakan perjumpaan bersama MOF pada hujung bulan ini, untuk melihat cadangan KPDN dengan lebih terperinci termasuk meneruskan PJRM dan Karnival Mega Jualan Rahmah MADANI pada tahun depan.

Armizan berkata karnival mega berkenaan akan dianjurkan di kawasan tertentu yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi di seluruh negara, membabitkan lebih ramai pembekal sekali gus memastikan pelbagai pilihan barangan dapat ditawarkan kepada orang ramai.

“Ada tempat tertentu bila laksana PJRM, barang tak mencukupi kerana respons diterima cukup baik, sebab itu kita cadang karnival mega seperti program hari ini, selalunya melibatkan satu pembekal tapi hari ini tiga pembekal, jadi kita harap MOF pertimbang cadangan ini (tambah peruntukan),” katanya.

Armizan berkata selain itu, pihaknya turut menggalakkan lebih banyak pemain industri dan pasar raya untuk menyertai Program Jualan Ihsan Rahmah MADANI iaitu dengan memberi diskaun terhadap barangan tertentu tanpa subsidi diberikan kerajaan bagi membantu rakyat.

“PJRM ada dua komponen iaitu juga barangan melalui kerjasama pasar raya tertentu dan sebagainya dengan kerajaan memberi subsidi dan harga barangan dijual pada kadar 10 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga semasa,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan