SUKAN

SUKMA 2024: Wilayah Persekutuan Sekali Lagi Sambar Emas Gimrama All-Around Berpasukan

17/08/2024 08:05 PM

KUCHING, 17 Ogos (Bernama) -- Skuad gimrama Wilayah Persekutuan menunjukkan taringnya dan terbukti berada di kelas tersendiri apabila sekali lagi menyambar pingat emas dalam acara all-around berpasukan untuk dua edisi Sukan Malaysia (SUKMA) berturut-berturut. 

Pasukan Wilayah Persekutuan mendominasi Pusat Konvensyen Borneo Kuching pada hari pertama perlawanan SUKMA 2024 dengan mengumpul 252.35 mata menerusi empat apparatus gelung, bola, belantan dan riben.

Pengurus pasukan Wilayah Persekutuan Clarissa Lee berkata kemenangan itu menandakan latihan intensif atletnya di Negara Matahari Terbit selama dua minggu pada awal tahun ini berjaya membuahkan hasil. 

“Kami menjalani latihan di Tokyo Women’s College of Physical Education dan jurulatih meneliti rutin serta memberikan cadangan perkara yang perlu diperbaiki.

“Latihan sebegitu amat membantu pasukan sebab mereka didedahkan dengan latihan luar negara dan mereka juga berpeluang berkongsi pengalaman ketika di Jepun dengan atlet di sini,” katanya kepada pemberita hari ini. 

Saingan hari ini menyaksikan empat atlet cilik Wilayah Persekutuan memperagakan aksi memukau melibatkan pemain kebangsaan Nur Zhafirah Wong Rudy Kurniawan, 14, serta Cassidy Jia Xin Tan, Rhea Dhaliwall dan Ru-Zanne Sui, masing-masing berusia 13 tahun.

Pingat perak menjadi milik Selangor diwakili Ebony Hui Ru Chai, Emily En Rui Low, Eryn Chang dan Lee Li Momoka Sam dengan 215.95 mata. 

Gangsa pula dimenangi Angel Tan Yonn Yee, Dhaffatul Nurbaiti Harman, Shakira Eleina Shukri dan Nur Sumayyah Mohd Suhaimi dari Negeri Sembilan selepas memungut 196.35 mata keseluruhan. 

Jumlah kutipan mata hari ini turut menentukan seramai lapan atlet mara ke pusingan akhir bagi acara apparatus individu berlangsung esok. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan