SUKAN

Skuad Bola Tampar B-19 Diharap Menyerlah Di Kejohanan Dunia Di Shangluo

17/08/2024 09:06 PM

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Skuad bola tampar pantai negara sedang bersiap sedia untuk beraksi pada Kejohanan Dunia Bola Tampar Pantai Bawah 19 Tahun 2024 di Shangluo, China dari 27 Ogos hingga 1 Sept.

Mereka ialah Jonathan Wong Hong Jie yang berpasangan dengan Muhammad Adam Adnan untuk kategori lelaki serta gandingan Nur Azwa Qariesya Mohammad Noor Aizuddin-Nur Auni Maisarah Shamsulrizal dan Cadence Goh-Rachael Goh untuk kategori wanita.

Ketua jurulatih Hean Boon Yeow bagaimanapun merasakan gandingan Nur Azwa Qariesya-Nur Auni mempunyai peluang cerah untuk melangkah jauh dalam pertandingan itu.

“Nur Azwa Qariesya-Nur Auni ialah pasangan kelima terbaik di Kejohanan Bola Tampar Pantai Bawah 19 Tahun (B-19) Asia di Roi-et, Thailand pada Mei.

“Mereka mempunyai prestasi memberangsangkan di Thailand sebelum tumpas 12-21, 20-22 di tangan juara dari Australia (Jasmine Rayner-Cameron Zajer) pada suku akhir,” katanya kepada Bernama.

Justeru, Boon Yeow berharap pasangan Nur Azwa Qariesya dan Nur Auni dapat mara ke pusingan 16 di China.

Beliau berkata semua atlet telah menjalani latihan berpusat di Lundu, Sarawak sejak minggu lepas menjelang perlawanan di China.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan