AM

Kubur Lama Kampung Mong Gajah "muncul" Kembali, Waris Adakan Bacaan Tahlil

18/08/2024 01:42 PM

KUALA NERANG, 18 Ogos (Bernama) -- Penyusutan paras air di Tasik Pedu, dekat sini menyebabkan tanah perkuburan lama Kampung Mong Gajah yang dipercayai berusia 100 tahun di dasar tasik berkenaan jelas kelihatan sejak awal bulan ini.

Keadaan itu membolehkan kira-kira 300 waris kampung itu, selain penduduk setempat menziarahi kubur terbabit dan mengadakan majlis tahlil dan doa selamat bagi mendoakan mereka yang disemadikan di situ.

Ismail Md Daud, 62, berkata arwah datuknya merupakan antara yang dikebumikan di tanah perkuburan itu.

“Bapa saya Md Daud Hassan pernah tinggal di Kampung Kuala yang terletak berhampiran dengan Kampung Mong Gajah. Kampung Kuala juga ditenggelamkan seperti Kampung Mong Gajah untuk projek Empangan Pedu.

“Tapi bapa saya telah berpindah dari Kampung Kuala kerana dikatakan terdapat banyak penyakit misteri di kampung terbabit,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis itu di sini pada Sabtu.

Bagi imam Kampung Tong Pelu dekat sini Mohamad Khori Idris, 58, majlis berkenaan diadakan bagi menghimpunkan waris penduduk Kampung Mong Gajah dan kampung berhampiran, termasuk yang kini tinggal di Batu Kurau, Perak.

“Ramai yang datang ke sini seperti pada 2020 apabila paras air tasik turut menyusut sehingga menampakkan kubur lama di sini. Keadaan ini bukan hanya beri peluang kepada waris, tetapi juga penduduk setempat untuk mengadakan aktiviti riadah seperti berkhemah di sini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Terap Nurul Amin Hamid yang turut menyertai majlis tahlil dan doa selamat itu berkata terdapat kira-kira 15 kampung di kawasan itu yang ditenggelamkan untuk projek Empangan Pedu pada 1960-an.

Beliau berkata perkuburan lama di situ sebelum ini tidak dipindahkan berikutan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dan Jabatan Mufti Negeri Kedah melihat tiada keperluan untuk berbuat demikian kerana usia perkuburan itu yang sangat lama.

“Kita mendoakan kesejahteraan bagi mereka yang disemadikan di sini, selain itu kita juga berdoa semoga kawasan tasik ini kembali dilimpahi air untuk disalurkan bagi kegunaan domestik dan pertanian di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang,” katanya.

Setakat hari ini, laman web Lembaga Pertanian Muda (MADA) menyatakan paras air di Empangan Pedu berada pada tahap 33.21 peratus, manakala dua lagi empangan di bawah kendaliannya iaitu Empangan Muda dan Empangan Ahning, masing-masing mencatatkan paras 7.80 peratus dan 78.50 peratus.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan