AM

Pasukan Petugas Khas Ditubuhkan Bincang Kawal Selia, Penguatkuasaan Media Sosial - Fahmi

18/08/2024 02:01 PM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Sebuah pasukan petugas khas akan ditubuhkan pada minggu hadapan bagi membincangkan berkenaan aspek pengawalseliaan dan penguatkuasaan platform media sosial, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata pasukan itu akan melibatkan Kementerian Komunikasi, Kementerian Dalam Negeri, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di bawah Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara.

Fahmi berkata perkara itu diputuskan selepas mengadakan pertemuan bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din tiga hari lepas.

“Polis memerlukan bantuan teknikal MCMC untuk pemeliharaan data dan pemprofilan, jadi insya-Allah dalam beberapa hari ke depan kita akan bentuk pasukan petugas khas untuk benar-benar memahami apa masalah yang dihadapi oleh DPP (Timbalan Pendakwa Raya).

“ … contoh berkait kertas siasatan isu deepfake (palsu tulen) yang terlalu baharu dan mungkin perlu kerjasama untuk kita fahamkan pembuktian dan mengumpulkan data secukupnya untuk bawa ke mahkamah. 

“Aspek pendakwaan ini sangat penting untuk elak daripada masalah yang berlaku hari itu … akhirnya ada seorang individu yang dihadapkan ke mahkamah dan dikenakan denda RM100 dan saya sangat tak puas hati dengan apa yang berlaku, tetapi kita akur bahawa mungkin cara siasatan itu kita boleh tambah baik dan ini yang kita putuskan,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas melawat dan menyampaikan sumbangan peribadi kepada PR Puspa, ibu kepada pempengaruh media sosial mendiang A. Rajeswary atau dikenali sebagai Esha di kediamannya di Bandar Baru Ampang hari ini. 

Bernama sebelum ini melaporkan Esha ditemukan meninggal dunia di sebuah unit kediaman di sebuah kondominium di Setapak di sini pada 5 Julai lepas, sehari selepas membuat satu laporan polis berhubung buli siber yang dihadapinya.

Bagi menangani kes buli siber, Fahmi berkata kementerian khususnya MCMC sedang berusaha untuk memastikan proses pelesenan platform media sosial berjalan lancar dan dapat dilaksanakan menjelang 1 Jan tahun depan. 

“Kita lihat umumnya mereka yang terlibat dalam buli siber berselindung di bawah akaun palsu dan kita nak pastikan pada masa depan, keberadaan akaun palsu ini dapat dikurangkan atau dihapuskan semua sekali. 

“Umumnya, setelah saya bertemu dengan pihak X dan Meta, TikTok dan WeChat di Singapura tempoh hari, mereka nyatakan kesediaan untuk dilesenkan dan kita sedang teliti beberapa panduan dan dari 1 Ogos hingga hujung tahun ini, MCMC akan bertemu dengan semua pihak berkepentingan termasuk paltform media sosial untuk membangunkan satu kod, tatacara dan tatakelakuan bagi platform media sosial,” katanya. 

Fahmi berharap dengan pelesenan itu, platform media sosial pada masa hadapan mempunyai kewajipan menjaga dan lebih bertanggungjawab seterusnya bertindak sekiranya berlaku insiden buli siber, sebaran ajaran sesat, fahaman ektremis atau jualan barang larangan seperti dadah serta judi dalam talian.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan