POLITIK

PRK Nenggiri Beri Panduan BN Kembalikan Keyakinan Rakyat - Zambry

18/08/2024 06:47 PM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri memberi pelbagai pengajaran yang boleh dijadikan panduan untuk Barisan Nasional (BN) dan UMNO memulakan langkah ke hadapan serta mengembalikan keyakinan rakyat.

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kemenangan gabungan itu sangat bermakna selepas PRK DUN Sungai Bakap di Pulau Pinang ketika analisis mengatakan Melayu menolak UMNO walaupun yang bertanding rakan daripada Kerajaan Perpaduan, Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Justeru, beliau menggariskan beberapa pemerhatian terhadap keputusan PRK DUN Nenggiri antaranya pemilihan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani memberi banyak kelebihan kepada gabungan itu memandangkan calon BN itu sudah dikenali di kawasan Nenggiri.

“BN juga menukar kaedah daripada ceramah besar-besaran kepada berkampung dan program ‘taqarrub’. Meskipun tidak kedengaran dentam-dentum ceramah BN tetapi jentera menyelinap masuk ke kampung-kampung dan pusat daerah mengundi (PDM) dengan penuh disiplin.

“Ahli UMNO dan BN cukup berdisiplin sebagai pasukan. Mereka mengambil pendekatan underdog ketika menyusun gerak kerja. Pasukan dari negeri-negeri turut membantu BN Kelantan. Mereka tidak meninggalkan pengkalan atau datang sebagai ‘pelancung pilihan raya’.

“Kawasan Orang Asli juga dijaga oleh pasukan bahagian dari Kelantan dan negeri yang berpengalaman dengan Orang Asli iaitu Perak dan Pahang. Meskipun PN dengan lambang PASnya turut membina khemah mereka di kawasan Orang Asli, namun gagal menarik sokongan,” katanya dalam kenyataan hari ini

Mohd Azmawi Fikri atau dikenali Awie berjaya merampas semula kerusi DUN Nenggiri daripada Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti besar 3,352 undi selepas memperoleh 9,091 undi dan menewaskan pencabarnya calon PAS Mohd Rizwadi Ismail mewakili PN yang meraih 5,739 undi.

Daripada sembilan PRK yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15, lapan daripadanya menyaksikan status quo iaitu Kuala Terengganu (PN), Simpang Jeram (Pakatan Harapan - PH), Pulai (PH), Pelangai (BN), Jepak (GPS), Kemaman (PN), Kuala Kubu Baharu (PH) dan Sungai Bakap (PN).

Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata kepimpinan Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Dr Ahmad Jazlan Yaakub dalam mengemudi jentera negeri Kelantan yang efektif bersama ketua bahagian serta sangat menekankan disiplin dalam kalangan pasukan antara faktor menyumbang kepada kemenangan.

“Selain itu, peranan Ku Li (Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah) (selaku Pengarah PRK DUN Nenggiri BN) sebagai orang yang sangat berpengalaman dalam kawasannya. Beliau telah memberikan nasihat dan menyediakan kaedah mengendalikan pengundi di Gua Musang khususnya di DUN Nenggiri,” katanya.

Sementara itu, Zambry berkata Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi secara berpasukan juga telah ‘take charge’ bagi meneliti setiap pelan dan langkah bagi menghalang serangan Pengarah PRK Nenggiri bagi PN Tan Sri Annuar Musa yang pernah memimpin war room UMNO dan BN sebelum ini dan rakan-rakannya.

Beliau berkata ini kerana Ahmad Zahid sedar akan cabaran menjelang Perhimpunan Agung UMNO serta usaha Annuar dan rakan-rakannya yang mahu menjadikan PRK DUN Nenggiri sebagai referendum bagi menolaknya sebagai Presiden UMNO sekali gus menolak parti UMNO.

“Dalam PRK Nenggiri ini, PN masuk dengan penuh keyakinan bahawa mereka akan terus menang bergaya. Ini kerana Kelantan sinonim dengan kerajaan PAS dan PN sehinggakan calon PN yang asalnya dari PAS itu ditukarkan kulit parti kepada Bersatu, suatu langkah kreatif PAS untuk menguasai DUN Nenggiri.

“PN juga sangat yakin dengan gelombang Melayu-Islam yang menolak UMNO di bawah pimpinan Ahmad Zahid dan kerajaan PH yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kempen menanam kebencian dan penolakan itu berjalan dengan penuh keangkuhan oleh PN,” katanya.

Selain itu, Zambry berkata strategi isu tempatan seperti hal tanah Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) yang tidak diselesaikan oleh kerajaan negeri menjadi keutamaan pengundi berbanding isu politik yang melabel UMDAP (UMNO-DAP).

Beliau berkata langkah PN dengan ceramah mega dan politik negara ditambah dengan maki hamun dan kutukan keperibadian terhadap pemimpin PH dan BN juga gagal memberi impak kepada kawasan luar bandar seperti Nenggiri.

“Terima kasih pengundi Nenggiri atas pemilihan seorang wakil rakyat baharu. Semoga YB Awie (Mohd Azmawi Fikri) akan bangun menjadi pemimpin dan wakil rakyat generasi baharu yang berwibawa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan