EKONOMI

Bank Pelaburan Semak Semula Unjuran Pertumbuhan KDNK Malaysia 2024 Lebih Tinggi

19/08/2024 12:49 PM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Hong Leong Investment Bank (HLIB) menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2024 lebih tinggi kepada 5.0 peratus berbanding 4.8 peratus sebelum ini.

Bank pelaburan itu menerusi nota hari ini menjangka pengembangan ekonomi dapat dikekalkan pada separuh kedua tahun ini, dipacu oleh perbelanjaan isi rumah yang lebih tinggi dan ketibaan pelancong serta langkah pendapatan sokongan seperti kenaikan gaji kakitangan awam dan pengeluaran Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

HLIB berkata peningkatan berterusan dalam aktiviti perdagangan dijangka turut merangsang pertumbuhan KDNK, dibantu oleh kesan asas yang rendah dan pemulihan beransur-ansur dalam sektor teknologi global.

Selain itu, kemajuan berterusan dalam projek berbilang tahun dan rancangan pelaburan yang teguh seperti kelulusan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi pelaburan bernilai RM83.7 bilion pada suku pertama 2024, dijangka menyokong pertumbuhan pelaburan.

Sementara itu, Public Investment Bank berkata berikutan prestasi kukuh pada suku kedua 2024, pertumbuhan KDNK 5.1 peratus pada separuh pertama 2024 telah melebihi sasaran setahun penuhnya berjumlah 4.7 peratus untuk 2024.

“Memandangkan pemacu pertumbuhan positif yang berterusan, yang dijangka terus menyokong momentum ekonomi pada separuh kedua 2024, kami menjangka KDNK boleh melepasi had lebih tinggi julat sasaran rasmi,” katanya.

Justeru, ia yakin kerajaan akan menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK rasminya iaitu 4.0-5.0 peratus bagi 2024 lebih tinggi apabila Belanjawan 2025 dibentangkan pada 18 Oktober ini.

BMI, iaitu syarikat Fitch Solutions, turut menyemak semula unjuran pertumbuhan 2024 Malaysia daripada 4.4 peratus kepada 4.7 peratus berikutan pertumbuhan yang lebih kukuh daripada jangkaan pada suku kedua 2024.

Bagaimanapun, katanya unjuran pertumbuhan mempunyai risiko menjadi lebih rendah sekiranya ekonomi China lebih perlahan berbanding jangkaan.

Selain itu, menurutnya keputusan kerajaan untuk membenarkan pengeluaran awal KWSP boleh mendorong penggunaan sekali gus menyebabkan peningkatan tekanan harga.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan