AM

Kes Keropok Beracun: Siasatan Polis Berlandaskan Undang-undang

19/08/2024 03:27 PM

JITRA, 19 Ogos (Bernama) -- Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap kes membabitkan dua kanak-kanak maut selepas termakan keropok beracun di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim pada Julai lepas dijalankan berlandaskan undang-undang ditetapkan. 

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata berkaitan tempoh dan perintah tahanan reman dikenakan ke atas suspek, pihaknya yakin polis telah mengguna pakai seksyen dan akta yang bersesuaian dengan kes berkenaan. 

"Kalau ada kewajaran melanjutkan tempoh reman dan sebagainya itu bergantung budi bicara pegawai penyiasat. Kalau mereka yang disiasat tidak puas hati, ada maklumat bukan sekadar dia sahaja, tapi ada pihak lain terlibat, dia boleh sampaikan maklumat kepada polis. 

"Siasatan ini sesuatu yang bersifat progresif, bukan statik, satu saja tamat di situ, tidak," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2024 peringkat Kedah di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan seorang pekebun yang memuat naik video di laman Facebook Uzair Shafawi yang antara lain menyatakan tidak puas hati kerana hanya dirinya ditahan reman, sebaliknya ibu bapa serta penjaga kanak-kanak itu tidak ditahan kerana mengabaikan mangsa sehingga maut.  

Dalam kejadian Julai lepas, Muhammad Akil Syauqi Nur Sufyan, 3, dan adiknya Muhammad Luth Syauqi, 2, meninggal dunia selepas termakan keropok dicampur racun tikus yang diletakkan untuk memerangkap monyet liar di kawasan kebun di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim.

Susulan itu, seorang pekebun berusia 33 tahun direman pada 11 Julai lepas bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta 611 berkaitan pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan