KUCHING, 19 Ogos (Bernama) -- Percubaan pelik tapi luar biasa Gan Chen Jie untuk ‘melonjak’ keluar dari kolam renang hingga lapang sasar ternyata tidak sia-sia apabila membidik dua pingat emas buat kontinjen Negeri Sembilan di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 hari ini.
Pada saingan di Lapang Sasar Sarawak di sini, atlet berusia 20 tahun itu mengungguli acara 50 meter (m) Rifle Prone individu wanita dan turut menyumbang mata kemenangan kategori berpasukan.
Gan sebelum ini pernah menceburi sukan renang berirama kerana mengikut jejak langkah dua kakaknya yang merupakan bekas atlet kebangsaan Gan Zhen Yu dan Gan Hua Wei, sebelum mencuba dalam lawan pedang.
“Selepas Sukan SEA Kuala Lumpur (2017), sukan renang berirama tiada dalam program Majlis Sukan Negara (MSN) jadi saya cuba sukan lawan pedang.
"Saya pernah mewakili negeri di SUKMA Perak 2018 dalam acara lawan pedang tapi tidak memberangsangkan. Sejak itu, saya perlahan-lahan belajar sukan menembak dan dalam tempoh lima tahun ini, saya selesa dan serius dalam sukan menembak," katanya kepada pemberita.
Dalam acara individu, Gan membidik 592 mata menewaskan rakan sepasukannya Aina Zahara Baharum (585 mata) yang meraih perak manakala wakil Sarawak, Kaira Ramadhani Azman gangsa dengan 581 mata.
Anak jati Seremban itu turut menyumbang pingat emas dalam acara berpasukan menerusi gandingan bersama Aina Zahara Baharum, Nuraisyah Suraya Muhammad dengan jumlah bidikan 1,750 mata.
Trio itu menewaskan pasukan Perak dibarisi Nurul Ain Murad, Nazzatul Anis Azizzi (1,713 mata) dan Nur Summayah Dzulkifli, Siti Zulaikha Haira Rosman serta Tan Ying mewakili Pulau Pinang (1,706 mata).
Setakat ini, Gan mengumpul empat pingat emas untuk kontinjen negeri bagi penampilan terakhirnya di temasya dwitahunan kebangsaan itu.
Gan yang juga atlet pelapis kebangsaan itu berkata program sains sukan diberikan MSN negeri dan Institut Sukan Negara (ISN) kepada atlet sangat membantu memberikan keputusan yang baik dalam SUKMA kali ini.
"Kami banyak menerapkan sains sukan dan psikologi, latihan diberikan sangat membantu atlet. Program itu mengajar saya lebih mengetahui kemampuan serta kekuatan diri sendiri, saya belajar mengawal emosi," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial