AM

TPM Ahmad Zahid Mahu Pelaksanaan PuTERA35 Dipantau Keberkesanannya

19/08/2024 08:17 PM

PUTRAJAYA, 19 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu pelaksanaan inisiatif di bawah Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), dipantau keberkesanannya bagi memastikan ia sampai kepada kumpulan sasaran.

Beliau berkata kayu pengukur keberkesanan terhadap pelaksanaan agenda pengisian ekonomi Bumiputera bukan lagi melalui indikator perbelanjaan atau peruntukan, sebaliknya perlu melihat keberkesanan program itu.

“Saya menyarankan agar pelaksanaannya dilihat dari segi cost effectiveness. Ertinya keberkesanan terhadap program itu.

“Kita (kerajaan) telah membuat keputusan, Kabinet telah membuat keputusan supaya timbalan ketua setiausaha dasar di setiap kementerian, memantau kepada soal pelaksanaan agenda Bumiputera di setiap kementerian,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran PuTERA35 di sini, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan pelan itu, yang antaranya menggarap tiga teras yang sejajar dengan Ekonomi MADANI iaitu memperkukuh pasak ekonomi negara; memperkukuh kerukunan tatakelola dan institusi; dan menegakkan keadilan sosial.

Ahmad Zahid berkata kerajaan juga mahu agensi pelaksana di peringkat jabatan, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) turut dilibatkan dalam menjayakan PuTERA35, dan tidak terhad kepada peringkat kementerian sahaja.

Beliau dalam pada itu berkata elemen pemilikan, penyertaan dan penguasaan Bumiputera dalam aspek ekuiti terutamanya, menjadi teras utama dalam PuTERA35.

“Soalnya ialah penyertaan dalam aspek ekuiti dan pemilikan dan juga penguasaan. Tiga elemen itu penting, pemilikan, penyertaan dan penguasaan... tiga aspek ini penting dalam aspek ekonomi. Begitu juga dalam sektor ekonomi lain dan bidang profesional yang telah digariskan.

“Jadi kita lihat dari segi capaian dalam bentuk yang berbeza, terutamanya dalam bentuk pemilikan ekuiti,” katanya.

Terdahulu, semasa berucap pada Majlis Pelancaran PuTERA35, Ahmad Zahid berkata pelaksanaan PuTERA35 tidak akan meminggirkan kaum atau suku lain.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan