SUKAN

SUKMA 2024: Empat Rekod Kebangsaan, Tujuh Rekod Temasya Lebur

20/08/2024 12:15 AM

KUCHING, 19 Ogos (Bernama) --  Empat rekod kebangsaan dan tujuh rekod temasya dileburkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 hari ini, yang menawarkan sejumlah 59 pingat emas. 

Badang wanita dari Perak, Qistina Qharisya Suffia Mohd Muzani memecahkan tiga rekod kebangsaan untuk merangkul emas kategori 45 kilogram (kg) menerusi angkatan seberat 65kg bagi snatch, 79kg bagi clean and jerk untuk bebanan keseluruhan 144kg.

Angkatan bertenaga atlet berusia 19 tahun itu, memadam rekod atlet kebangsaan Nurul Afiqah Zamzuri pada Sukan SEA Filipina 2019 dengan angkatan snatch seberat 59kg, diikuti 77kg dalam clean and jerk manakala angkatan keseluruhan berjumlah 136kg.

Sukan renang dan olahraga yang membuka tirai hari ini, seperti dijangka mencatatkan beberapa rekod baharu.

Wakil Selangor Andrew Goh merakamkan satu minit  01.39 saat (s) di Pusat Akuatik Pandelela Rinong untuk memperbaharui rekod kebangsaannya, yang turut memecahkan rekod temasya.

Perenang Wilayah Persekutuan turut memecahkan tiga rekod temasya untuk menamatkan saingan hari ini dengan tiga emas, tiga perak dan dua gangsa. 

Muhammad Dhuha Zulfikry memecahkan rekod 16 tahun acara 200m gaya bebas lelaki menerusi catatan 1:50.03s, Jayden Tan merakamkan 4:26.94s bagi acara 400m rampaian individu lelaki, manakala Chong Xin Lin meleburkan rekod acara 50m kuak lentang menerusi catatan 29.74s.

Di Stadium Sarawak, tiga rekod olahraga SUKMA dipadamkan, namun acara riben biru lebih mencuri tumpuan.

Pelari pecut Johor Danish Iftikhar Muhammad Roslee (10.53s) dan Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal dari Selangor masing-masing merangkul gelaran Raja dan Ratu Pecut SUKMA 2024, dengan pecutan 11.64s Nur Afrina Batrisyia merupakan rekod baharu temasya. 

Sementara itu, wakil tuan rumah Jonah Chang Rigan memadam rekod 14 tahun acara lontar peluru lelaki dengan lontaran sejauh 17.66m, manakala Khor Jing Hong dari Wilayah Persekutuan perbaharui rekod acara 20,000m lumba jalan kaki lelaki dengan catatan 1:34:38.20s. 

Setakat 11 malam ini, Sarawak mengekalkan kedudukan selaku pendahulu selepas merangkul 34 emas, 22 perak dan 25 gangsa, diikuti Wilayah Persekutuan (27-23-34) dan Terengganu (12-15-17).

Saingan hangat akan bersambung esok dengan 78 pingat emas menjadi buruan, iaitu 32 daripadanya dipertandingkan dalam sukan mempertahankan diri seperti Muay Thai (14), pencak silat (lapan), judo dan silambam masing-masing empat, taekwondo dua, manakala olahraga menawarkan 13 emas dan akuatik mempertaruhkan 12 emas (sembilan renang, tiga terjun).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan