EKONOMI

NCER Raih RM31.38 Bilion Pelaburan Di Pulau Pinang Pada Separuh Pertama 2024

20/08/2024 12:36 PM

GEORGE TOWN, 20 Ogos (Bernama) -- Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berjaya meraih RM31.38 bilion pelaburan di Pulau Pinang dalam tempoh separuh pertama 2024.

Ketua Eksekutif NCIA Mohamad Haris Kader Sultan berkata pencapaian memberangsangkan ini menjadi bukti keyakinan pelabur terhadap prospek jangka masa panjang yang ditawarkan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), khususnya Pulau Pinang.

Beliau berkata, pelaburan itu merangkumi sektor tumpuan dalam Pelan Pembangunan Strategik NCER, termasuk pembuatan bernilai tinggi, perkhidmatan termaju, dan pertanian moden, mewujudkan lebih 6,600 pekerjaan pada separuh pertama 2024.

“Prestasi positif ini akan menjadi pemangkin kepada NCER untuk terus memacu pelaburan dan pembangunan ekosistem perniagaan untuk separuh kedua tahun ini dengan memanfaatkan kelebihan serantau yang ada di NCER khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik dan semikonduktor,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Sementara itu, Mohamad Haris berkata, bangunan Pusat Inovasi Teknologi NCER (NTIC) yang dibangunkan di Bayan Lepas telah siap dan akan beroperasi tidak lama lagi.

Menurut kenyataan itu, NTIC merupakan program di bawah inisiatif Lembah Teknologi NCER yang memfokuskan kepada aktiviti berkaitan penyelidikan, pembangunan produk dan reka bentuk khusus.

Program ini juga berperanan sebagai platform untuk syarikat besar tempatan, syarikat multinasional, syarikat pemula, teknokrat individu dan usahawan muda untuk menjalankan aktiviti berteknologi dan bernilai tambah tinggi di NCER serta seterusnya menghasilkan harta intelek mereka sendiri.

Mohamad Haris berkata NTIC akan merancakkan lagi aktiviti inovasi, penyelidikan dan pembangunan serta meningkatkan rantaian nilai kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang akan mengukuhkan lagi kedudukan Pulau Pinang sebagai sebuah hab teknologi dan inovasi di rantau ini.

“Dalam tempoh separuh pertama 2024, sebanyak 16 syarikat PKS tempatan Pulau Pinang telah dimudahcara melalui geran padanan bagi meningkatkan rantaian nilai di bawah program NTIC menerusi inisiatif pusat kecemerlangan serta teknologi dan inovasi,” katanya.

Beliau berkata selain itu, seramai 144 pekerja tempatan telah diluluskan untuk menjalani latihan peningkatan kemahiran teknikal di bawah inisiatif Program Meister Teknologi Lanjutan (ATMP).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan