AM

Nanas Sarawak Gold Akan Dibawa Ke MAHA 2024 – Ketua Sekretariat

20/08/2024 03:25 PM

MIRI, 11 Ogos (Bernama) -- Varieti nanas Sarawak Gold (SG1)  dijangka akan dibawa dan dipamerkan pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) yang akan berlangsung dari 11 hingga 22 Sept depan.

Ketua Sekretariat MAHA Zurihanmi Zakariya berkata SG1 ini mempunyai potensi yang sangat besar dan hasilnya boleh dipasarkan baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa.

“Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg menunjukkan minat yang mendalam dalam sektor pertanian, dengan harapan impak positif acara ini dapat dirasai bukan sahaja di Sarawak tetapi di seluruh Malaysia,” katanya ketika ditemui oleh pemberita pada Karnival Mini MAHA di sini.

Beliau berkata bagi MAHA 2024 kali ini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyasarkan bilangan penyertaan pempamer dari Sarawak turut meningkat berbanding tahun sebelumnya.

“Pada masa ini sekretariat MAHA 2024 sedang menjalankan proses pemilihan pempamer dari seluruh negara untuk memastikan hanya pempamer dengan kualiti terbaik akan terlibat dalam acara ini.

“Kami berharap acara MAHA 2024 akan menjadi platform yang signifikan untuk mempromosikan sektor pertanian dan penternakan serta meningkatkan kesedaran mengenai potensi produk tempatan di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.

Zurihanmi berkata Jelajah Road to MAHA@Sarawak yang bermula dari negara Brunei pada hari Khamis lalu, kemudian Lawas dan  Miri telah melabuhkan tirainya hari ini.

“Jelajah kali ini amat istimewa kerana selain memberi tumpuan kepada negeri Sarawak, kami turut menjelajah ke negara Brunei dan menjemput Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan untuk menyertai MAHA 2024.

“Kami bersyukur kerana jemputan kami disambut baik Menterinya Datuk Seri Setia Abdul Manaf  Metussin dan beliau telah memberi komitmen untuk hadir selain turut serta dalam pameran itu nanti,” katanya.

Bertemakan ‘Menuai Harapan Membina Masa Hadapan, program jelajah Road To MAHA 2024@Sarawak menampilkan pelbagai aktiviti seperti program Jualan Agro Madani, lawatan ke TG Agro Fruit Sdn Bhd, lawatan ke Stesen Kerbau Meragang di bahagian Lawas serta sesi dialog bersama petani, penternak dan nelayan.

“Lawatan ini bertujuan melihat potensi pembangunan sektor pertanian dan penternakan kerbau di daerah tersebut, selain melibatkan penduduk Lawas dalam program Agro Madani, menerokai kawasan menarik dan berpotensi dalam menghasilkan teknologi moden pertanian, agro pelancongan,” katanya

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan