EKONOMI

Labuan FSA, IFSCA Bentuk Perkongsian Kukuh Kerjasama Kewangan

20/08/2024 08:57 PM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 20 Ogos (Bernama) -- Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) dan Pihak Berkuasa Pusat Perkhidmatan Kewangan Antarabangsa India (IFSCA) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk memupuk kerjasama yang lebih erat dalam pengawalseliaan, penyeliaan, penguatkuasaan termasuk pembangunan perniagaan antara kedua-dua pihak berkuasa kewangan .

Pertukaran rasmi MoU itu berlangsung hari ini di New Delhi, India, semasa lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Majlis itu dihadiri serta disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia dan India, mencerminkan kepentingan perjanjian ini dalam mengukuhkan hubungan bilateral antara kedua-dua negara.

Ketua Pengarah Labuan FSA, Nik Mohamed Din Nik Musa berkata MoU itu mewujudkan rangka kerja komprehensif bagi kerjasama rentas sempadan, termasuk perkongsian maklumat, kerjasama pengawalseliaan serta sokongan bersama untuk meningkatkan integriti, kecekapan dan kekukuhan kewangan membabitkan Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) serta IFSCA.

“Perjanjian itu turut merangkumi pembangunan pasaran kewangan, dengan tumpuan kepada latihan, bantuan teknikal termasuk penciptaan rangka kerja kawal selia dan produk kewangan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Perkongsian itu dijangka akan memperkukuhkan kerjasama kewangan antara Malaysia dan India, memacu faedah ekonomi selain mewujudkan peluang perniagaan baharu bagi kedua-dua negara. Dengan mempertingkatkan penyeliaan operasi rentas sempadan institusi kewangan, MoU itu akan merangsang kestabilan kewangan serantau dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“MoU itu menandakan satu kejayaan penting dalam kerjasama antarabangsa antara Labuan FSA dan IFSCA,” katanya.

“Ia akan membuka laluan kepada sokongan bersama serta meningkatkan penyeliaan operasi rentas sempadan dalam institusi kewangan yang diawasi oleh kedua-dua pihak berkuasa,” katanya lagi. 

“Saya yakin hubungan dua hala ini akan menjadi signifikan dalam menggalakkan kestabilan kewangan serantau dan pertumbuhan yang mampan,” kata Nik Mohamed Din.

Beliau menjelaskan pakatan strategik antara Labuan FSA serta IFSCA ini merupakan satu langkah penting ke hadapan dalam mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan India sambil memajukan sektor perkhidmatan kewangan kedua-dua negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan