EKONOMI

Semakan perjanjian Perdagangan ASEAN-India Harus Diselesaikan Dalam Masa Yang Ditetapkan - Modi

20/08/2024 09:32 PM

Daripada Shakir Hussain dan V.Sankara

NEW DELHI, 20 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri India Narendra Modi berharap agar semakan perjanjian perdagangan bebas bagi barangan antara ASEAN and India diselesaikan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

India dan ASEAN telah mengadakan beberapa pusingan rundingan untuk membuat perubahan kepada Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA) bagi menjadikan perjanjian itu lebih memudahkan perdagangan dan bermanfaat untuk perniagaan di seluruh rantau. Perbincangan tersebut bermula pada Mei 2023.

"Kami bersetuju semakan FTA antara ASEAN dan India harus diselesaikan mengikut masa yang ditetapkan," kata Modi.

Bercakap pada sidang media bersama rakan sejawatannya dari Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hyderabad House, di sini, Modi menekankan peranan penting Malaysia dalam ASEAN dan wilayah Indo-Pasifik.

Beliau berkata India sangat menyokong kepentingan ASEAN di rantau itu.

Selain itu, beliau turut menyatakan sokongan padu India terhadap Malaysia yang akan menggalas jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025,.

Modi berkata India melihat Malaysia sebagai rakan kerjasama utama di rantau Indo-Pasifik dan menyentuh secara tidak langsung mengenai geopolitik rantau tersebut.

“Selaras dengan undang-undang antarabangsa, kami komited kepada kebebasan pelayaran dan ruang udara, serta menyokong penyelesaian aman bagi semua pertikaian,” kata Modi.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Anwar atas persahabatan yang terjalin dan komited untuk memperkukuh hubungan dua hala, selain menyatakan lawatan Anwar telah menetapkan hala tuju baharu bagi hubungan India-Malaysia pada dekad yang akan datang.

Modi juga mengumumkan penubuhan kursi pengajian Thiruvalluvar di Universiti Malaya sebagai penghormatan kepada penyair dan ahli falsafah Tamil yang dihormati Thiruvalluvar.

Beliau turut menyebut bahawa kedua-dua pemimpin itu juga membincangkan mengenai peluang baharu bagi kerjasama pertahanan.

Selain itu, Modi turut menekankan kepentingan diaspora India yang berjumlah tiga juta orang di Malaysia, menggambarkannya sebagai "penyambung hidup" antara kedua-dua negara.

Dalam pada itu, beliau mengumumkan India akan memperuntukkan 100 tempat di bawah biasiswa Indian Technical and Economic Cooperation (ITEC) kepada calon dari Malaysia di institusi pendidikan India untuk mempelajari mata pelajaran lanjutan seperti keselamatan siber dan kecerdasan buatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan